Belum pun sempat beraksi, Mikel Merino yang baharu sahaja menyertai Arsenal dengan yuran perpindahan bernilai £32 juta terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
Ketika beliau dijangka bakal membuat penampilan pertama buat Arsenal pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25 bertemu Brighton, Merino terlibat dalam satu perlanggaran bersama pemain pertahanan, Gabriel Magalhaes.
Baca Juga:
- Mikel Merino Dedahkan Apa Yang Boleh Diberikannya Kepada Arsenal
- Petit: Arsenal Perlu 3 Lagi Pemain Baharu Untuk Saingi Man City
- Gagal Jadi Juara, Arsenal Tak Jadi Buat Perarakan Trofi EPL
Difahamkan, pemain tengah skuad kebangsaan Sepanyol itu mengalami kecederaan di bahagian bahu ketika sesi latihan pasukan.
“Ia adalah perkara yang cukup malang buatnya,” ujar Mikel Arteta menurut sumber laporan dikeluarkan Goal.
“Dia telah mengalami kecederaan bahu dan nampaknya dia akan berehat selama beberapa minggu. Dia jatuh di atas padang dan kemudiannya Gabi pula jatuh di atasnya, berkemungkinan bahunya patah.”
“Kita perlu lihat. Dia mengalami kesakitan yang amat sangat. Kita perlu melakukan beberapa ujian lagi mengenainya dan kemudian kita akan mendapat jawapan yang lebih muktamad.”
Merino yang sebelum ini cemerlang dalam menyarung jersi Real Sociedad pernah merasai pengalaman beraksi dalam saingan EPL ketika bersama Newcastle United.
Beliau melaungkan keyakinan mahu membuktikan kemampuannya tetapi nampaknya terpaksa menunggu lebih lama untuk membuat penampilan sulung.
Menanti kunjungan Brighton pada 7.30 malam ini (waktu Malaysia), Arsenal memburu kemenangan ketiga berturut-turut selepas berjaya menewaskan Wolves dan Aston Villa dengan keputusan 2-0.
Perlawanan di Emirates Stadium itu menarik untuk disaksikan kerana Brighton juga turut meraih enam mata penuh hasil kemenangan ke atas Everton dan Manchester United.