Bermaz Auto Bhd tidak lagi menjadi pengedar kenderaan XPeng di Malaysia berikutan keputusan pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China itu untuk menyusun semula rangkaian pengedaran tempatannya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, Bermaz Auto memaklumkan bahawa anak syarikat 85 peratus miliknya, Bermaz Xpeng Sdn Bhd (BXpeng), telah menghentikan operasi berkaitan XPeng berkuat kuasa serta-merta, petik The Edge Malaysia.
Kedua-dua pihak kini sedang memuktamadkan penamatan perjanjian tersebut berserta aturan sampingan lain, dengan pengumuman lanjut akan dibuat selepas perjanjian pemisahan dimeterai.
“Sepanjang tempoh ini, BXpeng akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan itu turut menambah bahawa penamatan peranan BXpeng sebagai pengedar XPeng di Malaysia tidak dijangka memberi sebarang kesan kewangan atau operasi yang material kepada kumpulan Bermaz bagi tahun kewangan semasa.
Penamatan kerjasama dengan XPeng ini berlaku kira-kira setahun selepas Bermaz Auto berpisah dengan Kia susulan keputusan pengeluar automotif dari Korea Selatan itu mengambil alih pengedaran tempatannya.
Kumpulan itu bagaimanapun kekal sebagai pengedar kenderaan Mazda di Malaysia.