Calon SPM pasti mengetahui kertas Sejarah merupakan salah satu subjek yang wajib lulus untuk melayakkan diri menerima Sijil Peperiksaan Malaysia.
Namun, masih ada calon SPM yang datang lewat dek kerana pelbagai rintangan dan memang sengaja tidak mahu hadir untuk mengambil peperiksaan subjek terbabit.
Seorang guru telah memuat naik video memperlihatkan detik genting apabila mereka bertungkus-lumus menghubungi para pelajar yang masih belum hadir ke dewan peperiksaan untuk kertas Sejarah pada hari semalam.
Kelihatan sebahagian guru sedang sibuk menghubungi sejumlah pelajar sambil memeriksa satu per satu nama di dalam senarai calon SPM pada ketika itu.
Di dalam kapsyen video tersebut, cikgu terbabit memberi pesanan kepada pelajar di luar sana agar tidak datang lewat ke peperiksaan. Hal ini kerana banyak lagi perkara yang perlu diuruskan sebelum masuk ke dewan peperiksaan.
Dia juga berharap pelajar tidak berniat untuk ponteng kerta peperiksaan yang penting ini kerana bukan sahaja bakal merugikan diri sendiri malah akan menyusahkan pihak lain juga selepas itu.
Malah, dia menunjukkan bukti log panggilan yang mana sudah menghubungi pelajar terbabit berpuluh-puluh kali bagi memastikan mereka akan tiba ke sekolah sebelum peperiksaan bermula.
@cikguhanomtaib Awak jangan hadir lewat ke sekolah ya. Banyak perkara cikgu nak urus sebelum awak masuk dewan. Terutama kehadiran, jangan sampai tak hadir SPM tanpa sebab. Ramai yang nak kena menjawab untuk awak ni kalau TH. Macam-macam jawapan cikgu nak kena sedia🤣Apa pun move on dari sejarah. Bersedia untuk matematik pulak ya. Fighting! #spm2024 #macammacamcerita #sejarahwajiblulus #cikguhanom
Perkongsian video tersebut langsung menjadi perhatian di platform TikTok dan rata-ratanya memuji tindakan para cikgu yang sanggup berhempas-pulas mencari pelajar yang tidak hadir atau lewat kerana takut tertinggal peperiksaan penting ini.
Ramai juga berkongsi betapa beruntungnya pelajar zaman sekarang kerana ditantang bagai minyak yang penuh oleh cikgu berkenaan padahal waktu dahulu ia menjadi tanggungjawab para pelajar sendiri untuk menghadiri ke peperiksaan atau sebaliknya.
Malah, ada di kalangan para cikgu lain yang mendakwa mereka berdepan perkara yang sama untuk UPKK.