Pada hari ini, boleh dikatakan perbualan masyarakat tempatan di dalam seharian sudah bercampur aduk dengan Bahasa Inggeris sekaligus menghakis jati diri tanpa kita sedari.
Baru-baru ini, perkongsian daripada pakar undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Ramalingam, menerusi podcast Hitam Putih Kehidupan di saluran Suhan Channel telah menarik perhatian ramai.
Walaupun bidang kepakaran beliau adalah perundangan, beliau sangat dikenali sebagai tokoh yang lantang mempertahankan martabat bahasa Melayu.
Teguran yang disampaikan beliau kali ini sangat mendalam dan memberi tamparan hebat kepada masyarakat.
Teknologi Bukan Kambing Hitam, Ibu Bapa Perlu Jadi Teladan
Dalam era serba moden ini, gajet dan media sosial sering kali dipersalahkan atas hilangnya nilai identiti anak muda.
Bagaimanapun, Prof. Ramalingam mempunyai sudut pandang yang berbeza. Menurut beliau, kemajuan teknologi adalah sesuatu yang tidak boleh disekat dan akan terus berkembang. Oleh itu, ibu bapa tidak sepatutnya menuding jari kepada teknologi semata-mata.
Sebaliknya, peranan utama bermula di rumah di mana ibu bapa harus menjadi suri teladan yang baik. Beliau menggunakan peribahasa Melayu yang indah dengan mengibaratkan orang tua sebagai ‘kayu besar di tengah padang’ iaitu sosok yang kukuh, rimbun, dan menjadi tempat berteduh serta contoh yang sewajarnya dicontohi oleh anak-anak.
Panggilan Keluarga yang Mula Hilang Keasliannya
Beliau turut menyentuh isu domestik dengan nada sinis, khususnya trend segelintir keluarga hari ini yang gemar mengubah panggilan asas dalam institusi kekeluargaan. Panggilan tradisi yang sarat dengan nilai ketimuran kini semakin digantikan dengan budaya luar.
“Ibu jadi mami, bapa jadi daddy… Akhirnya apa yang kita nak lahirkan? Generasi yang berkulit British ke apa? Lompat dari bumi ke langit, akhirnya keturunan takkan berubah,” tegas beliau.
Menurut beliau, perubahan kecil sebegini sebenarnya secara perlahan-lahan boleh mengikis akar identiti anak-anak sehingga mereka lupa daratan tempat mereka berpijak.
Cabaran Bahasa Kebangsaan di Institusi Pendidikan
Kerisauan beliau tidak hanya terhad di lingkungan rumah. Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap institusi pendidikan hari ini yang sepatutnya menjadi benteng utama dalam memelihara bahasa kebangsaan.
Apa yang menyedihkan, terdapat segelintir pendidik yang lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris ketika berkomunikasi atau mengajar, walaupun subjek yang diajar bukanlah subjek bahasa Inggeris. Fenomena ini jika dibiarkan akan memberi mesej yang salah kepada generasi muda, seolah-olah bahasa ibunda mereka adalah bahasa kelas kedua yang kurang penting.
Mengimbangi Keperluan Global dan Tanggungjawab Moral
Bagi mengelakkan sebarang salah faham, Prof. Ramalingam memperincikan bahawa teguran beliau bukanlah bermaksud masyarakat perlu menolak bahasa Inggeris sepenuhnya.
Sebagai seorang ahli akademik, beliau amat sedar bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa global yang sangat penting untuk kemajuan kerjaya dan penguasaan ilmu pengetahuan.
Namun, fokus utama beliau adalah tentang keseimbangan. Masyarakat perlu bijak membezakan antara tuntutan profesional di peringkat global dengan tanggungjawab moral untuk memartabatkan bahasa sendiri.
“Kulit sawo matang kekal kulit sawo matang. Tak payahlah bibirnya Melayu, lidahnya Barat,” ujar beliau sebagai peringatan.
@suhanchannelofficial “Ni masalah jati diri kita…” Setiap hari Ahad | 9.00 malam 📍Jangan lupa follow & tonton kami di: • YouTube Suhan Channel • YouTube AC GAS TV • Spotify Suhan Channel @Rosyam Nor @Fazira Wan Chek @CEO TONG GAS RINGAN @ACGAS TV #Podcast #Hitamputihkehidupan #Musim8 #ACGAS
♬ original sound – Suhan Channel Official – Suhan Channel Official
Tetap Menjunjung Langit di Bumi yang Dipijak
Nasihat daripada Prof. Dr. Ramalingam ini menjadi peringatan penting agar kita tidak hanyut dan kehilangan jati diri.
Menjadi moden dan fasih berbahasa asing tidak bermakna kita perlu meniru budaya luar sepenuhnya atau meminggirkan bahasa sendiri.
Hargailah asal-usul kita, kerana walau sejauh mana pun kita melangkah, identiti dan darah yang mengalir dalam diri kita tetap tidak akan pernah berubah.