Satu iklan bilik sewa mencuri perhatian warganet apabila bilik sewa itu merupakan sebuah bilik mandi.

Iklan tersebut disedari oleh seorang pengguna Threads @missfawaa ketika beliau sedang mencari bilik sewa.

“Tengah mencari bilik untuk disewa, terjumpa ini. Tergamak ya buat tandas sebagai bilik untuk bagi sewa dekat orang,” katanya.

 

View on Threads

 

Tab Mandi Jadi Katil Dalam ‘Bilik Sewa’

Menerusi gambar yang dikongsikan oleh pengiklan, ‘bilik sewa’ berharga RM950 itu merupakan sebuah bilik air, berdasarkan kedudukan cermin, sinki, pengering tangan, cermin dandanan dan lampu meja solek.

Untuk menjadikannya sebagai ‘bilik sewa’, ruangan itu ditambah dengan langsir yang dipasang pada tingkap di sebelah tab mandi.

Pada masa sama bahagian atas tab mandi pula diletakkan tilam dan bantal untuk dijadikan ‘katil’ buat penyewa. Di sebelah ‘katil’ itu pula mempunyai meja kecil.

Hantaran Threads itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang tidak sangka ada yang tergamak menyewakan bilik mandi sebagai ‘bilik sewa’.

Ramai berpendapat bilik mandi itu asalnya terletak di dalam salah sebuah hotel yang ada di sekitar Bukit Bintang.

Orang ramai juga percaya iklan ‘bilik sewa’ itu mencari penyewa sesama warga asing yang tidak kisah untuk tinggal di situ.