Jurgen Klopp menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk mengubah pendirian dan kembali ke dunia pengurusan pasukan di sebalik khabar angin yang mengaitkannya dengan Real Madrid.

Pengendali dari Jerman itu tidak lagi berada di bangku simpanan sejak meninggalkan Liverpool pada tahun 2024 dan walaupun tidak menunjukkan sebarang tanda untuk kembali melatih, spekulasi mengenai masa depannya terus berlegar.

Kini, Ketua Global Bola Sepak Red Bull itu tampil mengulas mengenai hala tuju kerjayanya termasuk pandangan sama ada beliau menganggap dirinya sebagai seorang pengurus bertaraf dunia atau sebaliknya.

Susulan pemergian Xabi Alonso meninggalkan Real Madrid minggu lalu, nama Jurgen Klopp sekali lagi dikaitkan dengan jawatan berprestij itu, walaupun beliau kini berkhidmat bersama Red Bull dan Alvaro Arbeloa telah mengambil alih peranan di bangku simpanan Los Blancos.

Klopp Tak Berhasrat Ke Real Madrid

“Saya tidak menjangkakan untuk mengubah pendirian tetapi saya sendiri tidak pasti,” ujar Klopp menurut sumber laporan Goal.

“Kami sedang membina sebuah rumah sekarang dan isteri saya mahukan sebuah bilik trofi yang sangat besar. Ada satu lagi bilik kecil dan saya berkata, ‘Ini sudah mencukupi kerana kita tahu berapa banyak trofi yang kita ada dan kita tidak akan menambah apa-apa lagi.’

“Mungkin kedengaran sombong tetapi saya tahu saya mampu melatih sebuah pasukan bola sepak. Namun, saya tidak perlu melakukannya sehingga hari terakhir dalam hidup saya.”

“Saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai jurulatih bertaraf dunia kerana masih banyak soalan yang belum terjawab ketika saya menamatkan tugasan,” tambah beliau lagi.

 

Sumber