Pasukan negara bakal berdepan Uzbekistan dalam aksi pembukaan kumplan D saingan AFC B-23 Tahun malam ini dan bintang muda kelab Rusia, CSKA Moscow ini dilihat bakal memberikan ancaman kepada skuad Harimau Malaya.

Pemain yang dimaksudkan ialah Abbosbek Fayzullaev dimana beliau tersenarai dalam skuad yang dibawa oleh ketua jurulatih pasukan, Timur Kapadze bagi membawa cabaran negara itu dalam saingan edisi kali ini.

Baca Juga:

Abbosbek merupakan pemain berusia 20 tahun dan sedang berada dalam prestasi terbaik ketika ini dimana beliau menyumbang dua jaringan dan satu assist bagi CSKA Moscow dalam tiga perlawanan terakhir yang dihadapi.

Setakat ini, Abbosbek telah mencatat empat jaringan dalam semua kejohanan dan menyumbang 11 assist, satu pencapaian yang luar biasa memandangkan beliau seorang pemain muda dan beraksi di liga di Eropah.

Graduan Pakhtakor FC ini dibeli oleh CSKA dengan harga €500 Ribu atau sekitar RM2.5 Juta pada Ogos 2023 dan melihat kepada prestasi yang ditampilkan, ia merupakan satu pembelian yang berbaloi dilakukan oleh kelab Rusia itu.

Nama Abbosbek mula menjadi bualan peminat bola sepak di Asia sejak temasya Piala Asia 2023 di Qatar pada awal tahun ini dimana beliau membantu negaranya mara sehingga ke peringkat suku akhir dimana Uzbekistan tewas kepada pasukan tuan rumah yang kemudiannya muncul sebagai juara.

Sepanjang temasya, Abbosbek menjaringkan dua gol dan menjadi penjaring terbanyak bagi Uzbekistan bersama seorang lagi pemain iaitu Azizbek Turgunboev.

Selepas Uzbekistan, Malaysia akan menentang Vietnam pada 20 April sebelum menamatkan perlawanan Kumpulan D menentang Kuwait pada 23 April. Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir.