Filem karya kolaboratif Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, Blood Brothers: Bara Naga terus mencipta fenomena apabila berjaya mendapat kutipan sebanyak RM9.2 juta hanya dalam dua hari tayangan rasmi dan tayangan awal, bermula pada 8 April lalu.

Blood Brothers: Bara Naga kini ditayangkan di 170 pawagam, menjadikannya antara filem tempatan dengan capaian tayangan paling meluas setakat ini.

Antara negeri yang mencatat jumlah tontonan tertinggi ialah Selangor, Johor, Kedah, Pahang dan Terengganu.

Blood Brothers: Bara Naga dapat perhatian ramai

Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja membuktikan sambutan hangat penonton terhadap karya tempatan yang berkualiti, malah menjadi bukti bahawa gabungan naskhah penuh aksi, emosi dan nilai persaudaraan masih mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Tidak kurang juga ramai yang memuji kualiti produksinya dan menyifatkan filem ini sebagai satu pencapaian yang menetapkan penanda aras baharu untuk filem aksi tempatan.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan ini adalah karya terbaik Syafiq Yusof setakat ini. Dari segi aksi, skrip, tempo hinggalah ke aspek teknikal dan visual, semuanya memang sempurna.

“Setiap elemen terasa tepat pada tempatnya, sampai saya sendiri tak jumpa apa-apa untuk dikritik. Babak pertarungan pula, memang bertaraf antarabangsa, brutal, kemas, dan penuh impak. Memang lain macam!” ulas pengulas filem Abang Riak.

Fikry Ibrahim turut meluahkan rasa kagumnya sebagai seorang pelakon, “Saya tengok lakonan semua pelakon Blood Brothers sangat smooth dan seimbang. Masing-masing beri komitmen penuh dan berjaya hidupkan watak dengan begitu natural.

“Tahniah kepada semua pelakon, pengarah dan juga penulis skrip. Gabungan Syukri, Sharnaaz, Syafiq, dan Kepeng memang cukup rempah. Hasilnya? Memang menjadi! Satu kejayaan yang wajar diberi pujian kepada seluruh pasukan produksi. Memang puas hati,” katanya.

Blood Brothers: Bara Naga kini sedang ditayangkan di pawagam dan jangan lepaskan peluang untuk menonton filem aksi penuh bergaya ini!