Boeing telah merasmikan pejabat baharunya di Kuala Lumpur yang akan berfungsi sebagai hab utama bagi mengukuhkan sokongan pelanggan, keselamatan penerbangan, kelestarian dan rantaian bekalan syarikat itu di Malaysia, petik Free Malaysia Today.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, merasmikan pejabat korporat gergasi penerbangan itu di Menara Hap Seng 3.

Baca Juga:

Turut hadir ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Negara (NAICO), Shamsul Kamar Abu Samah.

Dalam satu kenyataan, Burtt berkata Boeing berasa amat berbesar hati dapat menyokong aspirasi negara untuk menjadi nod aeroangkasa utama di rantau ini seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Aeroangkasa 2030.

Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia merupakan salah satu pasaran penerbangan terbesar di Asia Pasifik, dan penubuhan pejabat korporat baharu yang diperluas ini mencerminkan komitmen kukuh Boeing terhadap kerajaan Malaysia, kakitangan, pelanggan dan rakan kongsi di negara ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Liew berkata pejabat baharu ini menjadi bukti komitmen Boeing terhadap Malaysia sebagai sebahagian daripada perjalanan industri aeroangkasa negara.

“Perjalanan Boeing bersama Malaysia telah berlangsung lebih 70 tahun, bermula dengan penghantaran pesawat Douglas DC-3 pada tahun 1947.

“Sejak itu, Boeing telah memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan sektor penerbangan dan aeroangkasa negara,” katanya.

Liew berkata lebih daripada 140 pesawat Boeing telah dihantar kepada syarikat penerbangan Malaysia, termasuk lebih 100 buah Boeing 737 kepada Malaysia Airlines.

“Kumpulan Penerbangan Malaysia (Malaysia Aviation Group) juga telah mengumumkan hasrat untuk membeli 30 buah Boeing 737 MAX 8 serta pilihan untuk memperoleh 30 lagi pada masa hadapan.

“Ini membuka peluang kerjasama antara Boeing dan Malaysia dalam fasa seterusnya pembangunan industri aeroangkasa, termasuk peluasan rantaian bekalan tempatan, peningkatan kemahiran bakat tempatan, dan peneraju kelestarian,” katanya.

Liew turut menjelaskan bahawa kehadiran Boeing di Malaysia bukan sekadar jualan pesawat, malah syarikat itu turut menubuhkan satu-satunya fasiliti pembuatan milik penuh mereka di Asia Tenggara, yang terletak di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Dengan tenaga kerja hampir 1,000 rakyat Malaysia, Boeing Composites Malaysia mempunyai rekod cemerlang dalam menghasilkan komponen komposit untuk program pesawat 737, 767, 777 dan 787, sekali gus menyumbang secara langsung kepada rangkaian pengeluaran global Boeing,” katanya.