“Saya nyaris jadi korban banjir tempoh hari kerana air berada pada paras telinga, mujur ada pegawai bomba datang dan bertindak cepat selamatkan kami sekeluarga.”
Begitu kata ibu tunggal dua anak, Annisa Md Yasin, 37, apabila rumah keluarganya di Seksyen 25, Taman Sri Muda, Shah Alam dinaiki air berikutan hujan berterusan.
Paling menakutkan Annisa apabila memikirkan keselamatan keluarga terutama bapanya, Md Yasin Abd Rahman, 72, yang terlantar akibat lumpuh bahagian kanan badan. Berkongsi kisahnya ketika melalui detik mencemaskan, Annisa berkata, dia tiba di rumah keluarganya jam 12 tengah hari pada Sabtu lalu.
Menurutnya, keadaan cuaca hujan ketika itu dan air mula naik ke buku lali sebelum meningkat hingga ke paras pinggang jam 6 petang. Katanya, berikutan itu, mereka terpaksa menunaikan solat Maghrib dengan duduk atas kerusi jam 7 malam.
“Sejam kemudian, bekalan eletrik di seluruh kawasan terputus dan paras air makin naik dan perkara pertama saya serta adik buat bantu ayah kerana katilnya di ruang tamu hampir tenggelam, tetapi mujurlah tilamnya terapung.
“Anak-anak saya mulanya duduk di atas sofa namun saya pindahkan ke atas katil lebih selamat,” katanya. Menurut Annisa, dia buntu ketika itu, tetapi cuba menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan anggota penyelamat.
Sementara menunggu bantuan tiba, Annisa sempat memuat naik hantaran dan gambar keadaan bapanya di Facebook dengan harapan ada pihak yang membantu.
BOMBA tak pernah pilih kasih dalam menghadiri sebarang operasi menyelamat yang melibatkan nyawa orang awam.. pic.twitter.com/iGscwiM8JN
— Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (@bombaJBPM) December 24, 2021
“Saya reda dengan kemungkinan buruk akan terjadi ketika itu kerana tidak pandai berenang. Bagi saya, apa yang lebih penting adalah ayah, emak, anak dan adik selamat. Saya berserah kepada Allah saja namun jam 3.40 pagi, seorang pegawai bomba dan anggotanya datang menaiki bot menyelamatkan kami sekeluarga.
“Kami dibawa ke sebuah sekolah di Kota Kemuning dan syukur kami selamat. Semua dengan izin Allah dan saya hargai sangat bantuan pegawai bomba itu.
“Kini, saya sekeluarga menumpang di rumah ibu saudara di Padang Jawa kerana air di rumah emak dan ayah belum surut,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Rezuan Mat Taib, 27, bersyukur kerana dia dan isteri, Nur Hashafikatun Jantan, 27, sempat menyelamatkan diri sebelum rumah sewa mereka di Kampung Paya Dalam, Temerloh, Pahang ditenggelami air.
Muhammad Rezuan juga sempat menyelamatkan kereta dan kucing peliharaannya daripada dihanyutkan arus deras.
Buat masa ini, dia dan isteri berlindung di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar, Temerloh, Pahang yang menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) sementara menunggu air surut. “Dalam tahun 2021, sudah dua kali rumah saya ditenggelami air, di mana sebelum ini pada Januari lalu.
“Saya reda dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan PPS untuk mangsa banjir berlindung.
“Alhamdulillah, kami mendapat layanan baik daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sejak hari pertama mendaftar di sini, malah banyak bantuan keperluan asas diberi,” katanya.
Bantuan hadir daripada pelbagai pihak dan ini beberapa artikel lain berkaitan bantuan mangsa banjir.
‘Tanpa Mereka Mungkin Nyawa Saya Sudah Melayang’ – Jurulatih Maraton Negara Hargai Bantuan ATM