Seorang usahawan dari Johor, John Wong, memilih cara yang luar biasa dengan menghabiskan wang bernilai RM3.1 juta untuk memberi hadiah kereta kepada para pekerja.
John Wong, yang merupakan pengasas Warakuya Japanese Restaurant dan Superstar Family KTV, baru-baru ini mengejutkan ramai apabila beliau memberikan 31 pekerjanya pelbagai model kereta mewah, termasuk BMW, Audi, Toyota, Honda, dan Proton.
Bukan itu sahaja, empat pekerja terpilih termasuk seorang eksekutif C-level dan beberapa pengurus cawangan yang telah lama berkhidmat diberi ganjaran lebih istimewa—BMW 6 Series bernilai RM1.8 juta.
Dalam temu bual bersama China Press, Wong mendedahkan bahawa beliau menghargai pekerja dengan cara yang luar biasa dan baginya ini adalah tradisi yang cuba diterapkan oleh beliau.
Setiap tahun, beliau akan memberi penghargaan besar kepada mereka sebagai tanda terima kasih atas kerja keras dan dedikasi yang ditunjukkan.
Tahun ini, beliau memutuskan untuk memberi kereta sebagai cara unik untuk mengekspresikan penghargaan beliau.
Bukan sekadar hadiah kereta, Wong turut membantu pekerja asing dari Myanmar dan Nepal dengan menyediakan lesen memandu percuma supaya mereka dapat menikmati hadiah ini tanpa perlu menanggung kos tambahan.
Baginya ini adalah cara beliau menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan untuk memastikan pekerjanya mendapat manfaat sepenuhnya sepanjang bekerja dengannya.
Salah seorang pekerja, yang sanggup datang dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru untuk menghadiri majlis pemberian hadiah tersebut, berkongsi bahawa ini adalah kali kedua beliau menerima BMW daripada syarikat, selepas tujuh tahun yang lalu.
Katanya, kereta itu melambangkan penghargaan dan pengiktirafan dari pihak syarikat serta Wong sendiri.
Hadiah kereta ini telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen Malaysia, yang rata-rata menganggapnya sebagai satu contoh kepimpinan yang luar biasa dan pengiktirafan terhadap pekerja yang jarang ditemui dalam dunia korporat.