Kelab-kelab dari Serie A dan Serie B Brazil bersetuju dengan cadangan Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) untuk mengurangkan secara berperingkat jumlah pemain asing atau pemain import yang boleh disenaraikan dalam setiap perlawanan, bermula musim 2027.
Ketika ini, setiap pasukan dibenarkan menyenaraikan maksimum sembilan pemain asing untuk satu perlawanan. Namun, had tersebut akan dikurangkan secara berperingkat sehingga hanya lima pemain asing dibenarkan pada 2030.
Bermula 2027, jumlah maksimum pemain asing akan diturunkan kepada lapan orang. Ia kemudian menjadi tujuh pada 2028, enam pada 2029 dan lima pada 2030.
Perubahan itu diperkenalkan CBF dengan tujuan membuka lebih banyak ruang kepada pemain muda yang dibangunkan di Brazil. Menurut kajian yang dibentangkan badan induk tersebut, pemain bawah 23 tahun semakin kurang mendapat minit permainan dalam saingan domestik sejak peningkatan jumlah pemain asing.
Pada 2026, pemain bawah 23 tahun hanya menyumbang 13.8 peratus daripada keseluruhan minit permainan di Serie A Brazil. Sebagai perbandingan, angka tersebut ialah 38 peratus di Perancis, 32 peratus di England, 31 peratus di Sepanyol dan 28 peratus di Jerman serta Itali.
CBF turut mendedahkan bahawa penggunaan pemain asing berusia lebih 23 tahun meningkat daripada 7.8 peratus kepada 25 peratus daripada keseluruhan minit permainan Serie A antara 2020 hingga 2026.
Selain mengehadkan pemain asing, kelab-kelab turut meluluskan perubahan terhadap sistem pendaftaran pemain.
Mulai 2027, setiap pasukan boleh mendaftarkan sehingga 50 pemain dalam saingan Brasileirão, tetapi sekurang-kurangnya 20 daripadanya perlu berusia 23 tahun atau lebih muda.
Jumlah pemain muda itu akan dinaikkan secara berperingkat kepada 25 orang pada 2030, menjadikan pembahagian skuad ketika itu 25 pemain dalam senarai utama dan 25 pemain bawah 23 tahun.
Keputusan untuk mengurangkan had pemain asing itu bagaimanapun tidak mendapat sokongan semua kelab. Bahia dan Flamengo dilaporkan menjadi dua kelab yang mengundi menentang perubahan tersebut.
CBF berkata pelaksanaan secara berperingkat diperlukan bagi mengurangkan kesan kepada kelab yang sudah mempunyai kontrak jangka panjang dengan pemain asing.