Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB) hari ini mengumumkan rancangan pengeluaran Siri Baharu Wang Kertas Keluarga bagi lima denominasi BND1, BND5, BND10, BND100 dan BND500 bagi negara Brunei.

Istilah ‘Ringgit’ telah digantikan dengan ‘Dolar Brunei’ bagi semua denominasi. Perubahan ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman orang ramai serta menggalakkan penggunaan istilah tersebut secara lebih meluas.

Baca Juga:

Memetik kenyataan rasmi BDCB, siri baharu itu dijadualkan untuk mula diedarkan pada separuh pertama tahun 2026.

Brunei Ganti Perkataan 'Ringgit' Dengan 'Dolar Brunei' Pada Wang Kertas Baharu
Sumber Gambar: Facebook Brunei Darussalam Central Bank

“Siri baharu ini akan menampilkan ciri keselamatan yang dipertingkatkan, selaras dengan kemajuan global dalam industri mata wang.

“Penambahbaikan ini memastikan keselamatan dan integriti mata wang  terpelihara, di samping memperkukuh perlindungan terhadap pemalsuan,” kata BDCB.

Walaupun wang kertas baharu, ia masih mengekalkan identiti kebangsaan serta warisan negara yang kukuh.

Ia menampilkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada denominasi BND1, BND5, BND10 dan BND100.

Brunei Ganti Perkataan 'Ringgit' Dengan 'Dolar Brunei' Pada Wang Kertas Baharu
Sumber Gambar: Facebook Brunei Darussalam Central Bank

Sementara potret Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada denominasi BND500.

Kelima-lima denominasi wang kertas baharu itu turut hadir dengan ikonografi pada bahagian hadapan dan belakang wang kertas tersebut.

Wang kertas lama Brunei masih boleh dipakai

“Dalam usaha berterusan untuk mempromosikan keterangkuman serta memastikan akses pembayaran kekal mudah bagi semua lapisan masyarakat, BDCB memperkenalkan ciri baharu DOMINOTM dalam siri wang kertas akan datang bagi membantu golongan cacat penglihatan.

“Ciri ini terdiri daripada titik timbul yang terletak di bahagian bawah kanan setiap wang kertas baharu, dengan setiap denominasi mempunyai susunan unik bagi memudahkan pengguna mengenal pasti nilainya.

“BDCB turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua wang kertas sedia ada yang masih beredar kekal sah diperlakukan dan akan terus digunakan bersama Siri Baharu Wang Kertas Keluarga,” katanya.

Sumber