Dalam mana-mana komuniti atau industri kreatif, isu pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan demi mengaut keuntungan mudah dengan mengeksploitasi identiti jenama terkenal bukanlah perkara asing.
Terbaru, satu hantaran di media sosial menjadi tular dan mencetuskan perbualan hangat apabila seorang individu dikesan membuka tempahan baju bersempena dengan ulang tahun ke-20 kumpulan rock tanah air, Hujan.
Isu Jualan Barangan Peminat Tanpa Izin
Dengan menggunakan nama besar Hujan pada rekaan tersebut, produk berkenaan dengan mudah menarik perhatian peminat yang teruja untuk mendapatkannya secara pra-tempah. Baju tersebut dijual pada harga sekitar RM40 hingga RM45 mengikut saiz tertentu.

Lebih mengejutkan, penjual terbabit secara terbuka mengaku bahawa dia mengambil rekaan daripada poster rasmi kumpulan itu, menukar sedikit ton warna pada lakaran tengkorak, dan melabelkannya sebagai barangan peminat atau fan merch.
Setakat ini, difahamkan sebanyak 22 helai baju telah pun dicetak berdasarkan tempahan awal yang diterima.
Teguran Ringkas Tetapi Berbisa Daripada AG Coco
Tindakan berani individu itu akhirnya mendapat perhatian gitaris utama Hujan, AG Coco. Beliau tampil bersuara bagi menegaskan bahawa penghasilan dan penjualan barangan tersebut adalah sepenuhnya di luar pengetahuan organisasi dan pihak pengurusan Hujan.
Menerusi satu hantaran ringkas, AG Coco mempersoalkan hak kumpulan tersebut dengan menulis: “Ni royalti untuk band kira macam mana ni?”.
Kenyataan ringkas itu sudah cukup jelas untuk memberi isyarat kepada orang ramai bahawa produk berkenaan adalah tidak rasmi, tidak sah, dan melanggar hak cipta.
Umum sedia maklum bahawa untuk menggunakan identiti sesebuah jenama atau kumpulan muzikal terkenal, seseorang wajib mendapatkan keizinan rasmi serta membayar royalti sewajarnya kepada pencipta asal.
Reaksi Peminat Dan Dakwaan Penggunaan AI
Pendedahan tersebut mengejutkan ramai peminat yang sebelum ini tidak menyedari status sebenar barangan tersebut. Sedar akan pelanggaran undang-undang harta intelek yang berlaku, sebahagian peminat mula menggesa pihak Hujan untuk mengambil tindakan mahkamah yang tegas terhadap individu terbabit.
Selain isu pelanggaran hak cipta, netizen juga menyedari sesuatu yang aneh pada rekaan baju tersebut. Mereka menjangkakan terdapat peratusan yang tinggi bahawa visual pada baju itu telah dihasilkan semula menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Hal ini kerana rupa paras ahli kumpulan Hujan yang dilakar pada baju berkenaan kelihatan tidak tepat, lari daripada rupa asal, dan mempunyai kecacatan visual yang sering dihasilkan oleh perisian AI.
Dalam pada itu, berdasarkan semakan kami, si penjual sudah pun meninggalkan komentar dengan hasrat untuk berbincang berkaitan royalti.