Pemain pertahanan Turkiye, Merih Demiral digantung dua perlawanan selepas beliau membuat isyarat tangan berbentuk serigala ketika perlawanan 16 pasukan terakhir menentang Austria dalam temasya UEFA Euro 2024.
Beliau menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Austria dan membuat isyarat tangan berbentuk serigala ketika meraikan salah satu jaringan.
Baca Juga:
- ‘Lebih Mudah Menang Copa America Berbanding UEFA Euro’
- Cristiano Ronaldo: Ini Euro Terakhir Saya
- Euro 2024: Southgate Yakin England Akan Mara Ke Final
Menurut laporan Goal.com, UEFA telah mengambil tindakan dengan menggantung Demiral untuk dua perlawanan, yang mana beliau akan terlepas aksi suku akhir menentang Belanda dan sekiranya Turkiye menang, maka pemain ini turut terlepas perlawanan separuh akhir.
Isyarat itu dikaitkan dengan kumpulan pelampau sayap kanan Turki iaitu ‘The Grey Wolves’ – sebuah organisasi yang disifatkan sebagai kumpulan pengganas oleh EU – dan diharamkan di Austria.
Merih Demiral sendiri mempertahankan tindakannya dimana beliau menegaskan keraian itu ada “hubungan dengan identiti Turkinya” tetapi UEFA segera membuka kertas siasatan.
Isyarat itu tidak menjadi halangan di Jerman selaku tuan rumah namun Nancy Faeser, menteri dalam negeri Jerman, berkata: “Simbol pelampau sayap kanan Turki tidak mempunyai tempat di stadium kami.
“Menggunakan kejuaraan bola sepak Eropah sebagai platform untuk perkauman adalah tidak boleh diterima sama sekali. Kami mengharapkan UEFA menyiasat kes itu dan mempertimbangkan sekatan.
Sebelum ini, pemain Albania iaitu Mirlind Daku digantung dua perlawanan dan terlepas baki kejohanan selepas dia dilihat menggunakan megafon untuk menggalakkan penyokong menjerit slogan menghina Serbia dan Macedonia Utara.
Sekiranya Turkiye berjay menewaskan Belanda, maka mereka akan berdepan sama ada England atau Switzerland di peringkat separuh akhir.