Kecoh baru-baru ini apabila Noh Hujan membuat kenyataan di Melodi memaklumkan berlaku sedikit konflik melibatkan hak penjagaan Musa antara beliau dengan bekas isterinya, Mizz Nina.

Situasi tersebut turut menjadi buah mulut ramai serta mendapat perhatian Athira selaku ibu kandung kepada Musa.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Terbaharu, Athira mahu Noh Salleh tarik balik kenyataan, membuat permohonan maaf secara terbuka dan padam gambar Musa di media sosial dalam tempoh 24 jam.

Selain itu, Athira juga mahukan Noh memohon maaf atas kekeliruan yang ditimbulkan dalam kenyataannya menerusi program Melodi, baru-baru ini.

Menerusi temu bual disiarkan, Noh mendakwa Athira memberi kebenaran untuknya menjaga Musa dengan rela hati. Susulan itu, Athira mendakwa, dirinya dimanipulasi oleh Noh.

“Apa yang saya nak dikongsikan, saya sebagai ibu kandung kepada Musa sangat kecewa dengan apa yang terjadi.

“Saya rasa dimanipulasi dan digunakan atas kepentingan dia (Noh).

“Saya kecewa kerana Noh menggunakan saya dengan menyatakan ‘Musa diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati. Amanah ini diberikan kepada saya (Noh).’

“Disebabkan itu, saya mahu Noh menarik balik kenyataan yang dibuat kerana menggunakan nama saya dalam media massa.

“Saya mahukan permintaan maaf secara terbuka daripada Noh. Sebelum ini, Noh membuat perkongsian menerusi media massa, jadi saya mahu dia buat permohonan maaf menerusi media massa juga,” dakwanya ketika ditemui BH Online, hari ini.

Athira mendakwa, tindakan Noh dianggap melanggar perjanjian yang sudah dipersetujui antara mereka sejak awal lagi berkenaan kehidupan dan penjagaan Musa.

“Saya juga sangat kecewa apabila Noh mendedahkan wajah Musa dalam Instagram beliau.

“Dalam kes ini, apa yang buat saya kecewa apabila Noh tidak mempunyai hak sebagai penjaga sepenuhnya, tetapi melanggar perjanjian untuk tidak berkongsi wajah Musa.

“Jadi, saya mahu Noh menarik balik kenyataan dibuat terhadap saya dan hantaran membabitkan wajah Musa. Saya juga mahukan permohonan maaf secara terbuka.

“Sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh 24 jam, saya akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Terdahulu, Noh membuat kenyataan dalam program Melodi bahawa tiada langsung unsur penculikan seperti yang didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.

“Musa diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati. Amanah ini diberikan kepada saya. Ini bukannya isu perebutan, tetapi mengikut undang-undang dan disertai dengan dokumen.

“Sekarang Musa di bawah jagaan saya dan sangat gembira. Memang saya difitnah teruk,” kata Noh.

Sumber