Setiap hari tanpa gagal, Ahmad Ziyyad Mohd Zahir melazimi bacaan Al-Quran dalam suasana tenang di rumah sewa keluarganya di Bukit Payong, Marang, Terengganu — jauh daripada gangguan televisyen atau peranti elektronik.
Hanya selepas empat bulan dan 10 hari, kanak-kanak berusia 10 tahun itu berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran — satu pencapaian luar biasa bagi sesiapa sahaja, apatah lagi seorang anak kecil yang disahkan menghidap autisme ketika berusia tujuh tahun, petik Free Malaysia Today.
Ibunya, Nurul Shahida Lukman, 35, berkata anaknya mencapai kejayaan itu melalui penyertaannya dalam sebuah program yang dikendalikan oleh Akademi Al-Quran Amalillah, sebuah institusi tahfiz yang terletak di Marang.
Beliau berkata Ahmad Ziyyad – atau Abe Yadd, panggilan manja mereka sekeluarga – telah menunjukkan minat terhadap Al-Quran sejak masih bayi. Malah, sebelum mencecah usia tiga tahun, dia sudahpun menghafaz 42 ayat hanya melalui pendengaran terhadap bacaan Al-Quran.
“Saya sering menidurkannya dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran. Saya masih ingat, ketika dia berusia lapan bulan, saya membacakan Surah al-Kahfi kepadanya,” imbas Nurul.
“Jika saya terlupa satu ayat semasa membaca, dia akan menangis seolah-olah mahu saya ulang dari awal. Hanya selepas itu dia akan berhenti menangis dan tertidur. Dari situlah proses hafazannya bermula.”

Memetik Free Malaysia Today lagi, Nurul dan suaminya, Mohd Zahir Mohammad Noor Sabri, 38, berpindah sementara dari kampung halaman mereka di Kota Bharu, Kelantan ke Marang tahun lalu bagi membolehkan Ahmad Ziyyad mengikuti pengajian harian di Akademi Al-Quran Amalillah.
“Ketika itu, akademi hanya menerima pelajar berusia antara 10 hingga 15 tahun. Namun dengan izin Allah, anak saya diterima masuk pada usia sembilan tahun kerana dia mampu menghafaz beberapa ayat dalam masa hanya 10 minit, sedangkan kebanyakan pelajar lain mengambil masa yang lebih lama,” katanya.
Kini, Ahmad Ziyyad telah kembali ke Kota Bharu untuk menyambung pelajarannya di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam Al-Fateh.
Menurut Nurul, anaknya mempunyai hiperleksia dan hipernumerasi — ciri-ciri yang lazimnya dikaitkan dengan spektrum autisme. Hiperleksia merujuk kepada kebolehan membaca yang luar biasa, manakala hipernumerasi pula merujuk kepada kepintaran luar biasa dalam memahami nombor dan konsep berangka.
“Ada masanya emosinya tidak stabil dan dia mudah menangis, tetapi apabila tangisannya reda, dia akan menyambung hafazannya dengan lebih baik. Setiap malam saya menemaninya, memainkan rakaman bacaan Al-Quran dan memastikan dia menghafaz antara tiga hingga lima muka surat,” kata suri rumah sepenuh masa itu.
Nurul menambah bahawa apa yang paling membanggakan dirinya dan suami bukan sekadar kebolehan Ahmad Ziyyad menghafaz, tetapi perubahan positif dalam tingkah lakunya.
“Abe Yadd menunaikan solat tepat pada waktunya tanpa disuruh. Dari segi emosinya sebagai kanak-kanak autisme, dia kini lebih stabil dan berkelakuan seperti kanak-kanak lain.
“Kami melihat dia semakin matang dan menjadi contoh yang baik kepada dua adik lelakinya,” katanya mengakhiri perbualan.