Penjualan rasmi pegangan saham Porsche AG dalam syarikat usahasama Bugatti Rimac menandakan berakhirnya penglibatan Volkswagen Group dalam jenama kereta mewah berkenaan, selepas hampir tiga dekad memilikinya sejak tahun 1998.
Porsche AG telah menyempurnakan transaksi penjualan kesemua pegangan sahamnya dalam Bugatti Rimac dan Rimac Group kepada konsortium pelabur yang diketuai oleh HOF Capital, bersama pelabur utamanya BlueFive Capital serta beberapa pelabur institusi dari Amerika Syarikat dan Eropah.
Langkah melepaskan baki 45 peratus pegangan Porsche dalam Bugatti Rimac serta 21 peratus saham dalam Rimac Group ini sekali gus memisahkan Bugatti sepenuhnya daripada Volkswagen Group.
Sejajar dengan pemilikan baharu ini, Pengarah Urusan (CEO) Bugatti Rimac, Mate Rimac, kini memegang kawalan strategik penuh dan memperkukuh struktur kepimpinan syarikat:
1. Mate Rimac mengambil alih jawatan sebagai Presiden Bugatti Automobiles.
2. Christophe Piochon melepaskan jawatan sebagai Presiden Bugatti Automobiles dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Bugatti Rimac.
3. Marko Brkljačić (bekas COO Rimac Technology) dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) Bugatti Rimac yang baharu.
4. Hendrik Malinowski dirancang untuk dilantik sebagai Ketua Pegawai Komersial (CCO) Bugatti Automobiles.
Pertukaran kepimpinan ini berlaku pada fasa penting Bugatti, merangkumi pembukaan fasiliti pengeluaran baharu La Manufacture di Molsheim pada Julai lalu, serta peringkat akhir ujian model Tourbillon. Ia sekali gus mengukuhkan pelan hala tuju sepuluh tahun syarikat di bawah era baharu tanpa Kumpulan Volkswagen.
Jual Saham Bugatti Rimac, Porsche Dapat €1 bilion
Sementara itu, penjualan saham tersebut menjana hasil kira-kira €1 bilion (RM4.75 bilion) kepada Porsche AG, dengan €250 juta (RM1.19 bilion) diperuntukkan bagi membiayai kewajipan pencen kumpulan.
Transaksi ini turut meningkatkan ramalan Margin Aliran Tunai Bersih Automotif Porsche bagi tahun kewangan 2026 kepada julat 5.5 hingga 7.5 peratus.