Nasi Kandar Sulaiman membuat kenyataan maaf kepada para pelanggan mereka yang sudah beratur di awal pagi kerana lewat membuka premis makanan untuk solat subuh.

Kedai makanan popular yang terletak di Georgetown, Pulau Pinang ini menulis di laman Facebook rasmi mereka selepas difahamkan bahawa ada yang kurang senang dengan kelewatan mereka membuka gerai.

Baca Juga:

“Kami minta maaf sebab tadi terpaksa buka kedai lambat pada pukul 6.45am. Kami buka lepas solat subuh jadi sekarang waktu lambat jadi terpaksa buka kedai pun agak lambat sedikit.

“Tetapi rasa kesian jugalah dengan pelanggan yang sudah pun beratur awal sebelum pukul 6.30am. Ada juga beberapa orang macam tidak berpuas hati dengan kami.

“Minta maaf, apa-apa pun kami akan utamakan solat subuh. Jadi kalau waktu lambat kedai pun kami akan buka lambat.

“Solatlah perkara pertama yang akan ditanya di akhirat nanti,” katanya.

Walaupun kenyataan tersebut seolah berbunyi kesal, namun tindakan Nasi Kandar Sulaiman untuk mementingkan solat subuh berbanding membuka gerainya awal telah dipuji oleh netizen.

Kebanyakan mereka menyokong tindakan Nasi Kandar Sulaiman sambil memberi kata-kata semangat.