Warga Pulau Pinang dimaklumkan supaya bersiap sedia menghadapi kesesakan lalu lintas yang lebih teruk bermula pertengahan Januari 2026.

Ini kerana satu laluan utama di pulau itu akan dikurangkan kepada beberapa lorong bagi memberi laluan kepada pembinaan jajaran baharu transit aliran ringan (LRT), lapor Free Malaysia Today.

Jalan yang akan dikecilkan itu meliputi laluan dari persimpangan Jalan Kampung Jawa–Jalan Mahsuri hingga ke persimpangan Jalan Mayang Pasir, kata Pengarah Projek syarikat berkenaan, Adil Putra Ahmad.

Siap Sedia, Trafik Pulau Pinang Bakal Sesak Lebih Teruk Mulai Pertengahan Januari 2026
Sumber Gambar: BERNAMA

Menurutnya, penutupan satu lorong itu adalah bagi memudahkan pembinaan landasan bertingkat yang dijangka mengambil masa 38 bulan untuk disiapkan.

Projek landasan bertingkat di bahagian selatan pulau itu merupakan sebahagian daripada jajaran LRT sepanjang 29.5km dengan 21 stesen, yang mula dibina pada Julai lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2031.

Memetik laporan itu lagi, kesesakan akan cuba dikurangkan dengan menyingkirkan beberapa lampu isyarat bagi membolehkan aliran trafik lebih lancar serta mewujudkan lebih banyak laluan pusingan U.

“Bagi projek sebesar ini, perancangan pengurusan trafik sementara perlu dilakukan dengan sangat teliti, berdasarkan kajian kami.

“Kesan terhadap trafik biasanya sangat besar sekiranya ia tidak dirancang dengan baik,” katanya dalam taklimat kepada kira-kira 200 pemain industri dari FIZ.

Siap Sedia, Trafik Pulau Pinang Bakal Sesak Lebih Teruk Mulai Pertengahan Januari 2026
Sumber Gambar: ecentral.my

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Loo Lee Lian, FIZ menempatkan kilang-kilang multinasional utama dari seluruh dunia dan menggaji sekitar 350,000 pekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, yang turut hadir pada taklimat itu, berkata adalah sukar untuk mengelakkan kesesakan trafik kerana pembinaan dijalankan di kawasan yang sudah mempunyai struktur sedia ada.

“Trafik akan sesak sepanjang tempoh pembinaan, sama seperti di Kuala Lumpur. Kita tidak boleh lari daripada hakikat itu.

“Tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah memberikan lebih banyak maklumat, supaya orang ramai boleh merancang,’ katanya sambil menambah kerajaan negeri akan bersikap telus serta memberikan kemas kini kepada pengguna jalan raya,” kata beliau