Tindakan pantas dan sikap prihatin dua orang lelaki warga Malaysia telah membuahkan hasil apabila mereka diberi penghargaan oleh pihak polis Singapura.

Pada 16 Jun yang lalu, Muhammad Azrie Manab dan sepupunya, Khairil Faizal Othman, telah dianugerahkan SaferSG Public Spiritedness Award dalam satu majlis serba ringkas yang diadakan di kawasan laut di utara Pulau Ubin.

Memetik Harian Metro, kisah ini bermula pada 2 Jun apabila Azrie, yang merupakan seorang nelayan, menyedari kehadiran sebuah bot rekreasi yang didaftarkan di Singapura sedang berlabuh di sebuah boya dalam perairan Malaysia.

Kehadiran bot tersebut menimbulkan rasa curiga di hatinya kerana agak jarang untuk melihat bot pendaftaran Singapura berada di kawasan tersebut.

Tanpa melengahkan masa, Azrie mengambil inisiatif merakam gambar bot berkenaan dan segera berkongsi penemuan tersebut dengan sepupunya, Khairil.

Bertindak atas maklumat bergambar itu, Khairil kemudiannya menghampiri bot peronda Pengawal Pantai Polis (PCG) Singapura pada hari yang sama untuk memaklumkan tentang penemuan mereka.

Siapa sangka, laporan ringkas ini ternyata sangat berharga buat pihak berkuasa.

Mengulas lanjut mengenai insiden tersebut, pihak polis Singapura dalam satu kenyataan berkata, “Maklumat awal yang diberikan pada waktu yang tepat ini terbukti memainkan peranan penting dalam membantu PCG mengesan dan menemui semula bot yang hilang tersebut, yang mana ia telah dilaporkan dicuri pada awal hari yang sama”.

Hasil daripada maklumat tersebut serta bantuan daripada Pasukan Polis Marin dari Polis Diraja Malaysia, pihak PCG berjaya mengambil alih bot berkenaan dan memulangkannya semula kepada pemilik asal.

Bukan Biasa-Biasa, Dua Pemuda Malaysia Terima Anugerah Khas Selepas Berjaya Kesan Bot Hilang Milik Singapura
Sumber Gambar: SPF SG

Semasa majlis penganugerahan berlangsung, Komander PCG, Ang Eng Seng, turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua pemuda ini. Beliau turut menekankan betapa pentingnya kerjasama komuniti dalam membanteras jenayah rentas sempadan menerusi dialognya:

“Penjenayah sering mengeksploitasi sempadan bidang kuasa untuk mengelak daripada tindakan undang-undang. Dengan bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan kami dan komuniti di Malaysia, kami dapat memanjangkan jangkauan keadilan merentasi sempadan dan membantu lebih ramai mangsa jenayah.

Kes ini adalah satu contoh teladan yang mempamerkan kejayaan perkongsian merentas bidang kuasa antara Singapura dan Malaysia,” jelas beliau.

Sebagai langkah berjaga-jaga pada masa hadapan, pihak polis menggalakkan orang ramai agar sentiasa peka dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka melihat sebarang vesel atau aktiviti yang mencurigakan di kawasan laut.

Siasatan mengenai kes kecurian bot ini masih lagi dijalankan oleh pihak berkuasa.