Ingat lagi bila Thailand mula membuka pintu untuk penggunaan ganja beberapa tahun lepas?

Kini, landskap tersebut bakal berubah dengan ketara. Menteri Kesihatan Awam Thailand, Pattana Promphat, baru-baru ini telah meneruskan langkah dengan merangka Rang Undang-Undang Ganja dan Hem pada 7 Julai 2026.

Matlamat utama kerajaan kini adalah sangat jelas iaitu ganja hanya dibenarkan untuk tujuan perubatan sahaja, bukan lagi untuk kegunaan rekreasi santai.

Bukan Boleh Beli Saja-Saja Lagi, Ini Perubahan Drastik Polisi Ganja Di Thailand

Susulan daripada masalah penyeludupan haram ke luar negara dan penggunaan lesen perniagaan palsu, pihak kementerian kini memandang serius isu ini.

“Kita perlu pemantauan yang lebih ketat dari peringkat sumber hinggalah ke destinasi penggunaannya,” tegas Pattana mengenai kelemahan yang dikesan sebelum ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa polisi kerajaan dan Parti Bhumjaithai kini sememangnya hanya tertumpu kepada penggunaan ganja perubatan.

Operasi Pembersihan dan Sistem Jejak GPS

Kerajaan Thailand kini tidak lagi bertolak ansur dengan perniagaan yang melanggar syarat. Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama rapat dengan pihak polis dan pihak berkuasa tempatan untuk membanteras kedai-kedai ganja haram di seluruh negara.

Tahukah anda, terdapat kira-kira 6,000 kedai yang lesennya telah tamat tempoh pada penghujung tahun 2023 dan hanya sekitar 1,500 sahaja yang telah memperbaharui lesen mereka.

Bagi membezakan kedai yang sah dan haram, Jabatan Perubatan Tradisional dan Alternatif Thai menggunakan pendekatan teknologi moden.

Koordinat GPS bagi semua kedai yang berdaftar dengan sah kini dipinkan di laman web rasmi mereka berserta tarikh luput lesen. Jika sesebuah kedai itu tidak tersenarai, ia dianggap beroperasi secara haram dan pengusahanya boleh ditangkap serta-merta.

Transformasi Menjadi Fasiliti Perubatan

Jadi, apa nasib kedai-kedai ganja berdaftar yang masih beroperasi hari ini? Di bawah peraturan kementerian yang telah dipinda, kedai-kedai ini perlu dinaik taraf menjadi fasiliti perubatan.

Ini bermaksud, seorang doktor mesti ditempatkan di premis tersebut untuk memantau pengeluaran ganja kepada pesakit yang benar-benar memerlukannya atas faktor kesihatan.

Langkah kawalan ini sangat penting bagi mengelakkan bekalan ganja dalam kuantiti yang besar diberikan kepada individu yang sama secara berulang kali.

Jika taktik pembelian mencurigakan ini dikesan, siasatan terperinci akan dijalankan dan tindakan undang-undang pasti menyusul.

Kawalan Dari Benih ke Jualan

Undang-undang baharu ini akan membawa kawalan yang lebih menyeluruh, bermula seawal fasa penanaman ganja itu sendiri.

Sebelum ini, kerangka undang-undang sedia ada hanya meliputi aspek jualan, pemindahan, dan pengekstrakan tanpa memfokuskan kepada tapak semaian.

Rang undang-undang ini juga bakal membawa hukuman dan penalti yang jauh lebih berat bagi mereka yang ingkar.

Bagi memberi amaran keras kepada pihak yang masih berdegil, Pattana menegaskan, “Bagi kedai yang dibuka secara haram dan menjual untuk kegunaan rekreasi, mereka akan berdepan dengan tindakan penguatkuasaan dan tangkapan”.

Secara ringkasnya, era penggunaan ganja secara bebas di Thailand bakal melabuhkan tirainya.

Dengan pemantauan ketat, penalti yang berat, dan keperluan preskripsi doktor, Thailand kini tekad untuk memastikan industri ganja mereka kembali ke landasan asal yang lebih selamat iaitu sebagai ubat-ubatan.

Sumber