Pelaksanaan hukuman tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mencetuskan pelbagai perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat, terutama mengenai gambaran sebenar rutin kehidupan beliau di sebalik tembok kediaman peribadi.
Ramai yang tertanya-tanya sama ada penahanan di rumah bermaksud kelonggaran untuk menikmati kehidupan harian bersama keluarga tersayang.
Status Kediaman Diwartakan Sebagai Penjara
Pelaksanaan ini berpunca daripada keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin, yang membatalkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda yang dikeluarkan mahkamah pada 6 November lalu.
Mahkamah kemudiannya menggantikan keputusan itu dengan perintah memindahkan Najib dari Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Menerusi perintah tersebut, Najib akan menjalani baki hukuman penjaranya melalui tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Penetapan ini sekali gus meletakkan kediaman di Taman Duta itu di bawah pewartaan rasmi sebagai penjara, tertakluk kepada protokol dan undang-undang institusi kepenjaraan yang sah.
Ditegah Tinggal Bersama Keluarga dan Tiada Tempahan Makanan
Bagi merungkai kekeliruan orang ramai, EXCO Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, tampil memberi pencerahan berhubung batas dan peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh tahanan tersebut berlangsung.
Beliau menegaskan bahawa ahli keluarga mahupun individu lain tidak dibenarkan menetap bersama Najib di kediaman berkenaan, memandangkan konsep tahanan rumah tetap berlandaskan peraturan asas sebuah penjara.
“Tidak boleh dan rumah itu pun diwartakan sebagai penjara. Memang konsep penjara anak bini tidak ada dalam itu,” kata beliau ketika menjawab soalan pengguna akaun Threads, @wakdoyik.co, yang meminta penjelasan berhubung pelaksanaan perintah berkenaan.
Menyentuh mengenai lokasi penempatan ahli keluarga terdekat, Nurulhidayah memaklumkan bahawa isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, dipercayai berada di kediaman berasingan.
“Anak bini dia bukan tinggal sekali. DSR (Rosmah) duduk Pavilion,” tambahnya.
Selain isu penempatan ahli keluarga, rutin biasa seperti memesan hidangan harian melalui aplikasi penghantaran makanan dalam talian turut dilarang sama sekali.
Najib tidak dibenarkan keluar dari kawasan bangunan kediaman itu, dan segala keperluan asas berkaitan sajian dikawal sepenuhnya oleh pihak berkuasa.
“Makanan minuman semua penjara yang tentukan,” ujar Nurulhidayah.
Prosedur Lawatan Mengikut Garis Panduan Ketat
Suasana di kediaman tersebut juga tidak boleh dikunjungi sesuka hati.
Sebarang urusan ziarah atau lawatan tertakluk kepada jadual khusus yang ditetapkan oleh pihak pengurusan penjara, sama seperti prosedur lawatan yang diguna pakai di mana-mana fasiliti tirai besi.
Nurulhidayah turut menzahirkan rasa penghargaan kepada mereka yang bertanya secara terus untuk mendapatkan gambaran fakta yang jelas, berbanding membuat andaian sendiri di ruang siber.
“Terima kasih tanya sebab nak tahu. Letih baca fitnah dari orang-orang yang terpaling tahu semua,” katanya.
Penerangan ini memperlihatkan sisi sebenar pelaksanaan tahanan di rumah, di mana walaupun lokasinya berada di kediaman persendirian, batas kebebasan fizikal dan pergaulan tetap diikat ketat oleh undang-undang kepenjaraan.