Bila sebut gaji lima angka, kita sering membayangkan seseorang itu mestilah berpangkat besar di dalam syarikat MNC atau mempunyai bisnes yang hebat.
Namun, sebuah hantaran media sosial baru-baru ini telah mencetuskan perbualan hangat selepas ia didakwa memaparkan pendapatan bulanan luar biasa seorang kakitangan di sebuah pusat penjagaan rambut terkemuka di Kuala Lumpur.
Jumlah yang dicatatkan? RM58,363.50 dalam masa sebulan—angka yang jauh melangkaui gaji asasnya yang hanya sekitar RM3,000.
Hantaran itu, yang dikongsikan oleh seorang netizen yang dipercayai perancang kewangan, menyertakan slip gaji yang menunjukkan bahawa komisen jualan pekerja tersebut sahaja berjumlah lebih daripada RM39,000 dipetik dari laman Says.

“Cuba tengok slip gaji ni! Jumlah pendapatan RM58,363.50!”
“Memang tak masuk akal! Dan dia bukannya CEO, dia hanyalah staf di pusat penjagaan rambut! Komisen jualan dia sahaja dah melebihi RM39,000!” tulis hantaran tersebut dengan penuh kejutan.
Pusat penjagaan rambut itu dilaporkan terletak di sebuah pusat beli-belah di KL.
“Siapa kata kerja dalam bidang perkhidmatan tak boleh kaya? Tapi, cuba tengok betul-betul pendapatan bersih dia!” tambahnya.
“Jika anda ada jenis pendapatan yang berubah-ubah sebegini dan mahu menggunakannya untuk pinjaman rumah, kereta, atau perniagaan, anda perlu berhati-hati,” kata perancang kewangan itu.
Menurut beliau, bank biasanya lebih menumpukan perhatian kepada pendapatan tetap.
Walau bagaimanapun, pihak lain pula menarik perhatian kepada kos perkhidmatan pusat penjagaan rambut yang tinggi.
“Mereka akan minta kita bayar melalui ansuran kad kredit. Anda betul-betul kena cakap ‘Tidak’ pada masa itu juga, sebab satu pakej sahaja boleh mencecah lebih RM10,000.
“Mereka yang memerlukan perkhidmatan ini mesti berhati-hati dengan perbelanjaan,” tulis seorang pengguna.
Seorang pengguna lain pula berkongsi bahawa seorang peguam yang bekerja di syarikatnya juga pernah memotong rambut di pusat beli-belah yang sama, membayar sehingga RM10,000 untuk satu sesi.