Penyanyi Nurshahila Amir Hamzah, atau lebih dikenali sebagai Shila Amzah menyatakan keterangan penyanyi legenda yang menyerangnya ketika sesi latihan konsert dan beberapa individu berkaitan sudah diambil selepas laporan polis dibuat.

Menurutnya penyerang terbabit bukanlah dua penyanyi legenda, Ella atau Datuk Awie seperti yang diperkatakan oleh orang ramai, lapor Berita Harian.

Baca Juga:

“Apa yang pasti bukan Ella atau Datuk Awie. Siapa yang cakap Awie itu tolonglah berhenti. Bukan nama-nama lain yang berada (buat persembahan) pada konsert tempoh hari.

“Sekarang kalau ikut kepada laporan polis dan keterangan daripada pihaknya (individu terbabit) juga sudah diambil. Jadi, kita lihat apa apa akan berlaku,” katanya ditemui selepas siaran langsung minggu keempat program The Raise Star di Royal Theatre di sini, malam tadi.

Menurutnya lagi, laporan dibuat sebagai langkah keselamatan untuk sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.

Shila turut menafikan laporan dibuat untuk memburukkan penyanyi legenda terbabit.

“Saya buat ini bukan hendak memburukkan nama sesiapa, tetapi apa yang salah tetap salah.

“Apa yang menyebabkan sesuatu negatif kepada orang lain, perkara itu salah. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku seperti apa yang saya tegaskan sebelum ini,” katanya.

Shila bagi ‘hint’ penyerang bukan bersendirian

Sementara itu Shila memuat naik hantaran Instagram Story menyatakan penyerang itu tidak bersendirian.

Penyanyi itu turut meminta orang ramai tidak mengaitkan kes itu dengan ‘Abil’.

“Tolong jangan kaitkan Abil dalam perkara ini. Tolong lah. Dan satu lagi cari benda dan tangan ajaib yang menyebabkan benda ini berlaku.

“Dia tidak berseorangan. Sepanjang kenal nama beliau dalam industri 17 tahun lalu, beliau langsung tidak begini,” kongsi Shila.

'Cari Benda Dan Tangan Ajaib Yang Sebabkan Benda Ini Berlaku' – Shila Amzah
Sumber Gambar: Instagram Story @shahilaamzah

Tambahnya lagi, dia meminta maaf kerana tidak dapat menyebut nama penyanyi legenda itu ketika kamera memenuhi hadapannya semalam menjadikannya ia lebih teruk.

Terdahulu, pada 10 Julai 2025, Shila Amzah telah buat laporan polis di IPD Dang Wangi. Dia dakwa diherdik dan diugut secara terbuka oleh seorang penyanyi legenda masa sesi latihan untuk konsert MR.D.I.Y. di Stadium Merdeka, KL.

Sumber