Ketika negara kita sedang berjuang melawan FIFA untuk menarik balik penggantungan 7 pemain oleh FIFA, kerajaan negara Gabon pula terus menggantung satu pasukan kebangsaan mereka.

Penggantungan itu berkuat kuasa serta merta sehingga diberitahu kelak.

Barisan kejurulatihan turut dipecat secara beramai. Kapten semasa pasukan, Pierre Emerick Aubameyang pula dikenakan penggantungan secara peribadi oleh kerajaan Gabon.

Bermakna dia mungkin terus digantung walaupun kerajaan kembali membenarkan operasi skuad kebangsaan.

Kenapa kerajaan gantung pasukan kebangsaan?

Kerajaan Gabon kecewa dengan prestasi buruk skuad kebangsaan Gabon di AFCON 2025, di mana mereka pulang awal setelah berada di tangga tercorot dalam kumpulan F.

Gabon
Foto: Kenyataan Kerajaan Gabon

Ianya dianggap satu perkara yang sia sia dan membazirkan wang rakyat serta harapan rakyat Gabon.

Aubameyang pula dikritik kerana selaku bintang utama pasukan yang dianggap bakat berkelas dunia, namun gagal mengetuai pasukan itu ke peringkat kala mati.

Oleh sebab itu kerajaan Gabon mengenakan penggantungan individu ke atasnya. Walaupun selama ini Aubameyang sangat setia dengan Gabon. Ketika di kemuncak kariernya, dia pernah menolak untuk bermain dengan Itali, Perancis atau Sepanyol demi taat setianya kepada Gabon.

Walaupun Gabon pasukan kerdil di Afrika. Aubameyang pernah menyatakan dia mahu menyambung perjuangan ayahnya yang juga pernah menjadi kapten Gabon.

Namun entah apa di kepala kerajaan Gabon apabila mereka langsung tidak mengenang jasa pemain itu yang selama ini membantu menaikkan semula pasukan kebangsaan Gabon. Membantu mereka layak ke AFCON beberapa kali.

Dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026, Aubameyang menjadi watak penting membantu Gabon menjadi naib juara kumpulan F. Walaupun mereka tewas di tangan Nigeria dalam separuh akhir play off zon Afrika.

Namun pencapaian itu dianggap terbaik dalam sejarah Gabon di pusingan kelayakan Piala Dunia. Semuanya mustahil jika tanpa Aubameyang.

Dan kini, Aubameyang menjadi musuh kerajaan negaranya sendiri.

Implikasi

Tindakan kerajaan ini mungkin kurang popular di kalangan peminat Gabon. Kerana mereka sentiasa memandang tinggi Aubameyang.

Peminat bola sepak global juga menganggap ini tindakan gila daripada kerajaan Gabon.

Salah seorang peminat berkata: “Kerajaan Itali pun tak pernah terlintas fikiran buat perkara seperti ini, sebelum ini.”

Ianya sindiran kepada kerajaan Gabon yang seolah olah narsisistik menganggap seolah olah mereka kuasa bola sepak di Afrika.

Seterusnya, FIFA juga mungkin akan mengenakan tindakan kepada pasukan kebangsaan Gabon kerana campur tangan kerajaan yang jelas sekali terlalu dominan dalam perkara ini.