Rakyat Malaysia yang merancang untuk ‘healing’ ke Thailand mungkin perlu menyediakan bajet lebih selepas ini.

Destinasi yang terkenal dengan jolokan syurga percutian murah itu kini dilaporkan sedang mengubah strategi secara drastik selepas kerajaan Thailand kini membuat keputusan penting untuk mengutamakan jumlah perbelanjaan pengunjung berbanding bilangan yang hadir.

Pada tahun ini, negara Asia Tenggara tersebut hanya menyasarkan kira-kira 33 juta pelancong asing, satu angka yang jauh lebih rendah berbanding hampir 40 juta ketibaan yang direkodkan pada tahun 2019.

Sekiranya angka ketibaan ini tidak mencapai rekod tahun lepas iaitu 32.97 juta, ia akan menandakan kemerosotan tahunan berturut-turut pertama bagi Thailand sejak sekurang-kurangnya tahun 1995, di luar tempoh pandemik.

Pada masa ini, pelancong membelanjakan sekitar purata AS$1,500 (~RM6,141) untuk setiap lawatan. Pihak berkuasa meletakkan sasaran agar angka perbelanjaan ini akhirnya meningkat kepada kira-kira AS$2,400 (~RM9825.60).

Namun begitu, unjuran untuk penerimaan pelancongan antarabangsa pada tahun ini dijangka hanya meningkat sedikit kepada 1.55 trilion baht berbanding 1.54 trilion baht pada tahun 2025.

Strategi Pasaran Berkualiti Tinggi

Persaingan serantau yang semakin sengit dan wujudnya ketegangan geopolitik menjadikan tumpuan terhadap pelancong yang berbelanja tinggi sebagai satu kunci utama berbanding mengekalkan konsep pelancongan massa.

Memetik laporan Business Times, Thailand juga kini tidak lagi mendominasi pasaran nilai untuk wang (value-for-money) seperti suatu ketika dahulu, kerana negara seperti Vietnam dan Indonesia telah menjadi pesaing yang semakin sengit, di samping pengukuhan nilai mata wang baht baru-baru ini yang telah menghakis kelebihan tradisional Thailand.

Bukan Lagi Syurga Cuti Murah? Mengapa Thailand Kini Alih Fokus Buru Pelancong 'Masyuk'
Sumber Gambar: Skift live

Mengulas mengenai perubahan hala tuju ini, Timbalan Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand, Nithee Seeprae berkata, “Kami tidak terlalu bimbang tentang jumlah pelancong kerana kami mahu menjana lebih banyak pendapatan daripada setiap pengunjung.

Kami memberi tumpuan kepada pasaran berkualiti.”. Pihak agensi kini giat menyasarkan pelancong yang berminat dengan penjagaan perubatan, retret kesihatan, konsert, festival, permainan golf, maraton, dan acara sukan lain kerana pelancong sebegini cenderung untuk menginap lebih lama dan berbelanja dengan lebih banyak.

Menangani Cabaran dan Isu Keselamatan

Tanda paling jelas bahawa Thailand tidak lagi hanya memfokuskan kepada bilangan pelancong semata-mata adalah tindakan mereka membatalkan beberapa kelonggaran berkaitan kemasukan visa.

Langkah-langkah merangsang pelancongan yang diperkenalkan selepas pandemik menerusi kelonggaran syarat kemasukan telah ditarik balik selepas pihak berkuasa mendapati kelonggaran tersebut menyumbang kepada peningkatan kes kerja haram, tinggal lebih masa (overstay), dan jenayah yang melibatkan warga asing.

Bukan Lagi Syurga Cuti Murah? Mengapa Thailand Kini Alih Fokus Buru Pelancong 'Masyuk'
Sumber Gambar: The Guardian

Baru-baru ini, pihak polis Thailand telah menahan seorang lelaki warga Australia di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok yang didakwa cuba melarikan diri selepas dituduh membunuh seorang gadis Thai berusia 17 tahun dan membuang mayatnya di dalam sebuah bagasi

Namun, pelaksanaan peralihan strategi ini bukanlah suatu perkara yang mudah kerana sektor pelancongan menyumbang kira-kira satu perlima daripada keseluruhan ekonomi Thailand.

Ekosistem perniagaan yang merangkumi hotel, restoran, pasar makanan, pengendali pengangkutan, dan syarikat pelancongan di destinasi seperti Phuket dan Chiang Mai telah lama dibina bersandarkan kepada jumlah pelancong yang besar.

Takrifan Baharu Sebuah Kemewahan

Bagi menyokong imej dan kempen kualiti premium ini, laman web agensi pelancongan Thailand kini lebih banyak memaparkan promosi berkonsepkan kemewahan dan kesejahteraan, siap dengan sebuah video alu-aluan yang memberitahu pengunjung bahawa mereka boleh “sembuh dan menjadi diri anda yang lebih hangat dan ceria”.

Walaupun pendekatan ini kelihatan eksklusif, Nithee menegaskan bahawa strategi baharu ini sama sekali bukan bertujuan untuk menyingkirkan pelancong yang mempunyai bajet terhad.

Menerangkan konsep ini dengan lebih mendalam, beliau berkata, “Bagi Thailand, kemewahan adalah mengenai pengalaman yang bermakna dan pengalaman eksklusif. Itulah definisi kemewahan baharu kami.”.