Bila sebut Malaysia, salah satu makanan yang selalu menjadi sebutan oleh pelancong sudah semestinya Nasi Kandar. Walaupun memang diakui kesedapannya, ada yang merasakan ia sudah membosankan dan mahukan kelainan.
Baru-baru ini, tular sebuah video yang memperlihatkan influencer dari Indonesia yang sedang menerokai juadah masakan Melayu tradisional yang ditawarkan di sebuah restoran di tengah-tengah kota bandar Kuala Lumpur.
“Di Malaysia, kamu cuma makan nasi kandar? Aduh sangat rugi. Cuba makan makanan Melayu pula,” ujar di awal video.
Difahamkan restoran Kampung Lah benar-benar bakal memberikan pengalaman makanan Melayu tradisonal yang asli sejak turun-temurun.
Pelbagai juadah yang dicubanya termasuk siput sedut dan batang keladi, kerabu, sambal udang harimau, ulam segar, tempoyak, ikan masin, daging batang pinang salai dan daging masak kicap.
Di saat sedang merakam babak mencuba kuih lepat pisang, dia langsung menitiskan air mata kerana tekstur dan rasanya mengingatkan kepada masakan ibunya sewaktu di sekolah rendah dahulu.
“Ini macam talam jagung nampaknya. Ini kelihatan seperti talam jagung ibuku. Macam ni tekstur talam jagung ibuku. Itu sama talam pisang ibuku. Sumpah tak bohong. Aku mahu nangis,” luahnya kerana rasanya mengimbau kenangan lama.
Secara keseluruhannya, dia sangat memuji akan kesedapan setiap juadah yang dirasakan dan menurutnya terdapat beberapa persamaan dengan juadah Indonesia seperti kerabu dan sambal.
Dia juga menyedari hanya mereka sahaja merupakan pelanggan yang berasal dari Indonesia sementara majoriti yang lain adalah warga tempatan sendiri.
Sambutan yang menggalakkan dari warga lokal langsung memberi penanda aras bahawa restoran ini terbukti menyediakan juadah melayu tradisional yang menepati citarasa lokal.