Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video cemas memaparkan tindakan berani seorang pemandu lori yang sanggup menggadaikan nyawanya demi menyelamatkan sebuah bas ekspres yang hilang kawalan.

Insiden yang berlaku di laluan berhampiran Terowong Menora, Perak itu dengan pantas meraih pujian melangit daripada warga maya yang menyifatkan pemandu tersebut sebagai seorang wira sebenar.

Memetik laporan BuletinTV3, bagaimanapun, bagi tuan badan sendiri iaitu Wong Tak Meng, 40, beliau sama sekali tidak mengharapkan sebarang pujian, jauh sekali mahu mendabik dada dengan gelaran tersebut.

Sebaliknya, bapa kepada empat orang anak ini menyifatkan tindakan nekatnya itu hanyalah satu tanggungjawab spontan sebagai seorang pengguna jalan raya.

Kronologi Detik Cemas Jam 6.27 Petang

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.27 petang itu, sebuah bas ekspres yang membawa penumpang dipercayai telah hilang kawalan sebelum merempuh beberapa buah kenderaan lain di jalurnya.

Keadaan menjadi semakin kritikal apabila bas berkenaan terus meluru tanpa kawalan, mengancam keselamatan kenderaan lain di hadapan.

Melihat situasi cemas tersebut menerusi cermin pandang belakang, Tak Meng yang sedang memandu lorinya tidak berfikir panjang.

Beliau mengambil keputusan berani dengan memosisikan lorinya betul-betul di hadapan bas tersebut, lalu merapatkan kenderaannya ke penghadang jalan.

Tindakan itu dilakukan secara sengaja bagi bertindak sebagai ‘benteng’ untuk memperlahankan dan mengawal pergerakan bas yang sedang menggelongsor laju.

“Saya Gembira Dapat Tolong Orang”

Mengimbau kembali detik-detik cemas tersebut, Tak Meng berkongsi bagaimana beliau cuba memberi amaran kepada pemandu lain di hadapan sambil mengawal keadaan kenderaannya sendiri.

“Selangkah tiba-tiba dia beri, dia sempat sikit tambah laju lagi lah. Lagi horn kasi kereta lari lah,” katanya menceritakan situasi di mana beliau terpaksa memecut sedikit untuk memposisikan lori dan membunyikan hon tanpa henti bagi mengarahkan kenderaan lain memberi laluan.

Tindakan pantas dan tangkas itu terbukti berjaya. Bas berkenaan akhirnya berjaya diperlahankan, sekaligus mengelakkan tragedi yang lebih buruk daripada menimpa penumpang bas serta pengguna jalan raya yang lain.

Meskipun dihujani dengan pelbagai pujian dan kata-kata penghargaan daripada netizen yang menyifatkan tindakannya menyelamatkan banyak nyawa, Tak Meng kekal merendah diri.

“Tak ada apa-apa hero lah, tapi normal pun semua pemandu akan buat macam itu. Saya pun banyak gembira (happy) sebab boleh tolong orang,” ujarnya sambil tersenyum.

Pengajaran Di Sebalik Insiden

Sikap ambil peduli dan keberanian yang ditunjukkan oleh Wong Tak Meng ini menjadi bukti bahawa sifat kemanusiaan di jalan raya mampu menyelamatkan nyawa. Walaupun lorinya mungkin mengalami kerosakan, nilai nyawa manusia yang berjaya diselamatkan jauh lebih berharga.

Kisah ini sewajarnya menjadi inspirasi kepada semua pemandu untuk sentiasa peka dan saling membantu ketika berada di jalan raya. Syabas, Wong Tak Meng! Anda tetap wira di hati kami semua.