Baru-baru ini, kecoh sekejap di media sosial apabila Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dilihat menggunakan sebuah kereta mewah BMW. Terus pelbagai spekulasi dan gosip mula bertebaran dalam kalangan netizen.

Menurut penjelasan rasmi dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), BMW 7 Series yang digunakan oleh Perdana Menteri itu bukanlah kenderaan rasmi baharu yang sengaja dibeli oleh kerajaan.

Bukan Saja-Saja Tukar Kereta, Ini Sebab Sebenar PMX Terpaksa Guna BMW 'Kebal'
Sumber Gambar: Paultan automotive

Sebenarnya, ia adalah aset sedia ada milik kerajaan di bawah Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA). Kenderaan ini biasanya digunakan untuk tujuan rasmi negara seperti membawa ketua-ketua negara asing.

PMX terpaksa menggunakan kereta tersebut buat sementara waktu atas nasihat dan penilaian keselamatan oleh pihak polis memandangkan kereta rasmi beliau sedang diselenggara. Kereta BMW 7 Series Protection ini bukan calang-calang kenderaan.

Ia dikuasakan oleh enjin 4.4L twin-turbo V8 dengan 530 PS dan dilengkapi spesifikasi keselamatan yang sangat tinggi, direka khas untuk menahan ancaman balistik peluru, letupan, dan juga ancaman dron.

Kalau kita imbas kembali pada November 2022 sewaktu beliau mula-mula memegang jawatan, Anwar Ibrahim dengan tegas menolak penggunaan kereta Mercedes-Benz S600 yang telah dibeli oleh pentadbiran sebelum itu.

Bukan Saja-Saja Tukar Kereta, Ini Sebab Sebenar PMX Terpaksa Guna BMW 'Kebal'
Sumber Gambar: Top Gear

Tindakan itu diambil sebagai langkah awal mengelakkan perbelanjaan baharu dan menghentikan budaya pembaziran dana awam di pejabat Perdana Menteri.

Malah, sewaktu menyerahkan senarai nama kabinet kepada Agong, beliau hanya menggunakan kereta Proton Perdana versi panjang (limousine) sedia ada, dan pernah juga menyatakan kesediaan menggunakan Toyota Camry.

Alang-alang bersembang tentang kereta rasmi kerajaan, tahukah anda bahawa untuk acara Kepengerusian ASEAN 2025 nanti, kerajaan akan beralih kepada kenderaan elektrik (EV)?

Kumpulan BMW Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan membekalkan armada EV, termasuk model BMW i7 xDrive60 M Sport dan BMW i5 eDrive40 M Sport untuk kegunaan rasmi kerajaan.

Langkah ini sangat bertepatan dengan pelan peralihan tenaga negara dan menyokong tema ASEAN 2025 iaitu “Keterangkuman dan Kelestarian”.

Kesimpulannya, cerita mengenai PMX naik BMW kebal itu hanyalah sekadar isu kenderaan pinjaman sementara atas faktor keselamatan, dan bukannya siri pembaziran baharu.

 

Sumber