Tatkala bahang perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kembali rancak diperkatakan, terdetik satu kisah sayu namun cukup bermakna yang dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial.

Kisah ini bukan sekadar tentang jentera laju, tetapi tentang sebuah lukisan Jalur Gemilang gergasi yang menjadi saksi bisu kasih sayang seorang anak dan bapanya.

Kenangan Tahun 2004 Yang Cukup Bermakna

Bagi pemilik akaun Threads adyhomhome, melihat kembali ke arah litar tersebut terus menerbangkan ingatannya ke tahun 2004 ketika dia baru berada di tingkatan tiga.

Kenangan ini bermula dengan satu tugasan ringkas yang kini menjadi sejarah peribadi paling berharga buat dirinya.

“Baba, cuba tengok gambar bendera dari Google ni. Kita lukis ikut macam ni ya?” mungkin itu antara perbualan santai mereka berdua ketika mula-mula merancang kerja mengecat tersebut.

Mereka ditugaskan untuk mengecat bendera Malaysia di atas simen berhampiran salah satu selekoh litar. Bermula dengan membuat garisan mengikut bentuk bendera yang dirujuk dari internet, mereka mengecatnya satu persatu sehingga siap sepenuhnya.

Pada waktu itu, ia hanya dirasakan seperti satu kerja yang biasa sahaja tanpa sebarang keistimewaan.

Nilai Sebuah Memori Bersama Arwah Bapa

Namun, pandangan pemuda ini terhadap karya itu kini berubah sepenuhnya. Apabila memori lama ini kembali menjengah fikirannya, apa yang lebih dirinduinya bukanlah kemeriahan perlumbaan kereta laju, tetapi kenangan menyiapkan bendera itu bersama-sama arwah bapanya.

Menurutnya, itulah antara satu-satunya kenangan di mana dia dapat melakukan sesuatu bersama arwah bapanya. Dahulu memori kecil itu nampak biasa, tetapi kini ia memberi impak yang sangat besar dalam hidupnya.

Malah, karya yang berusia hampir 22 tahun itu masih tersergam indah di litar berkenaan.

Misi Sentuhan Semula Bendera Ikonik

Lebih menyentuh hati, pemuda ini menyimpan satu hasrat dan berharap agar dapat diberi peluang untuk membetulkan semula lukisan bendera tersebut.

Sebagai individu yang melukisnya, dia menyedari ada beberapa perincian pada keadaan bendera terkini yang telah berubah dan tidak sama seperti rekaan asal.

Dia menjelaskan bahawa bahagian atas bendera yang kini dicat warna putih sepatutnya kekal dengan warna rumput. Tambahan pula, lukisan asal mereka mempunyai perincian kesan bayang-bayang bagi memberikan ilusi supaya bendera tersebut kelihatan lebih hidup dan sedang berkibar.

“Tak silap 2 minggu. Yg paling susah kat bintang tu. Banyak kali lukis Dan pergi tengok dari jauh ngam tak,” responnya bila disoal tentang tempoh untuk menyiapkan karya tersebut.

Rata-rata warga maya yang tersentuh dengan luahan ikhlas ini turut menanda akaun rasmi pihak litar di ruangan komen, berharap agar impian anak ini dapat direalisasikan tidak lama lagi. Jika impian ini tercapai, ia pastinya akan terus menghidupkan monumen rindu yang tidak berpenghujung buat arwah bapanya.