Hampir 60 peratus pemaju perumahan di Semenanjung Malaysia melaporkan masih mempunyai unit kediaman siap yang belum terjual, berpunca daripada masalah penolakan pinjaman perumahan, faktor harga, serta isu unit Bumiputera yang belum dilepaskan.

Dapatan tersebut diperoleh menerusi Tinjauan Industri Hartanah Rehda Bagi Separuh Pertama 2026 (1H2026) dan Prospek Pasaran Bagi 2H2026 serta 1H2027 yang diumumkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dalam satu taklimat media di Wisma Rehda, hari ini, petik EdgeProp.

Tinjauan yang melibatkan 181 ahli Rehda itu mendapati 59 peratus responden masih menyimpan stok unit kediaman siap sehingga 30 Jun lalu.

Menurut dapatan tersebut, penolakan permohonan pembiayaan akhir oleh pihak bank terutamanya disebabkan oleh kelayakan pendapatan pembeli, margin pembiayaan yang lebih rendah serta rekod kredit yang kurang memuaskan.

Selain masalah pembiayaan, keputusan pembangunan oleh para pemaju turut dipengaruhi oleh peningkatan kos operasi dan pembinaan serta ketidaktentuan keadaan ekonomi semasa.

Presiden Rehda, Datuk Zaini Yusoff berkata, walaupun kadar pelancaran dan jualan menunjukkan kestabilan, industri perumahan masih berdepan tekanan hebat daripada pelbagai sudut kos dan kekangan kewangan.

“Cabaran berterusan berkaitan pembiayaan akhir dan kemampuan memiliki rumah kekal menjadi perhatian utama. Kemampuan memiliki rumah tidak sepatutnya dilihat daripada sudut harga hartanah semata-mata, sebaliknya kos pengeluaran dan penyampaian rumah juga perlu diambil kira dalam persamaan kemampuan ini,” jelas beliau.

Mengulas mengenai prestasi pasaran, sebanyak 54 pemaju telah melaksanakan pelancaran baharu dalam tempoh kajian tersebut dengan merekodkan 15,834 unit — angka yang hampir serupa dengan 15,841 unit pada separuh kedua 2025 (2H2025).

Sejumlah 53 peratus daripada unit baharu yang dilancarkan itu berada dalam julat harga RM300,001 hingga RM500,000, dengan tumpuan utama di negeri Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Dari segi prestasi jualan, sebanyak 5,260 unit berjaya dijual, mencatatkan peningkatan tipis sebanyak 3.2 peratus berbanding 5,098 unit pada 2H2025. Kadar pengambilan (take-up rate) turut meningkat sedikit kepada 33.2 peratus berbanding 32.2 peratus sebelum ini.

Kategori kediaman jenis apartmen dan kondominium merekodkan jualan tertinggi dengan 3,032 unit terjual, diikuti oleh kediaman servis (1,114 unit) serta rumah teres dua hingga tiga tingkat (610 unit).

Sumber