Penyerang berbisa Manchester United, Erling Haaland, membuktikan bahawa ketajamannya bukan sahaja terletak di hujung kaki, malah merangkumi kecerdasan minda.

Pemain antarabangsa Norway itu kini melangkah masuk ke arena catur global sebagai pelabur utama bagi melonjakkan prestij sukan tersebut ke tahap yang lebih tinggi.

Melalui syarikat pelaburannya bersama ahli perniagaan Morten Borge, Haaland bakal menjadi pemilik penting kepada Norway Chess serta siri kejohanan baharu yang dinamakan Jelajah Kejohanan Dunia Catur Total (Total Chess World Championship Tour).

Mengapa Catur?

Bagi Haaland, bola sepak dan catur mempunyai hubung kait yang sangat rapat dari sudut taktikal. Beliau percaya disiplin di atas papan catur mampu mengasah ketajaman mental yang diperlukan di atas padang hijau.

“Kita perlu berfikir pantas, percaya kepada naluri, dan merancang beberapa langkah ke hadapan. Strategi serta perancangan adalah segala-galanya,” ujar Haaland.

Evolusi Baharu Sukan Catur

Pelaburan ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi satu misi untuk menjadikan catur sebagai sukan tontonan global yang lebih dinamik. Berikut adalah ringkasan mengenai format kejohanan baharu ini:

Gelaran Juara: Menobatkan ‘Gabungan Juara Dunia’ (Combined World Champion).

Tiga Format Utama: Merangkumi kategori Fast Classic, Rapid, dan Blitz.

Jelajah Global: Empat kejohanan setahun akan diadakan di bandar-bandar utama seluruh dunia.

Garis Masa: Acara percubaan dijadualkan pada penghujung 2026, manakala musim penuh akan bermula secara rasmi pada 2027.

Impak ‘Magis’ Haaland

Ketua Pegawai Eksekutif Norway Chess, Kjell Madland, menyambut baik kehadiran Haaland dalam ekosistem ini. Beliau yakin pengaruh global yang dimiliki pemain itu mampu menarik minat golongan penonton baharu yang lebih muda dan luas.

Populariti catur di Norway sememangnya telah lama melonjak hasil kejayaan Magnus Carlsen, juara dunia lima kali. Kini, dengan penyertaan Haaland, ‘demam catur’ dijangka akan melangkaui sempadan Norway dan mencetuskan fenomena global yang lebih luar biasa.