Bersempena di penghujung Ramadan, semakin ramai individu yang mempertingkatkan lagi ibadah dalam mengejar ganjaran Malam Lailatul Qadar.
Selain menunaikan solat sunat dan seangakatannya, ada yang mengambil inisiatif lain dalam menarik minat anak muda untuk mengenal lebih dekat kitab suci Al-Quran dengan gaya yang lebih santai dan interaktif.
Seorang pencipta konten yang dikenali sebagai Cikgu Zydd telah melakar sejarah baharu apabila melakukan penganjuran program World Quran Hour menerusi permainan terkemuka, Roblox.
Menariknya, beliau memaklumkan program berkenaan mendapat sambutan yang baik termasuk di kalangan pengguna tempatan dan luar negara.
“Program ini mendapat sambutan yang baik dari komuniti Roblox tempatan dan luar negara bertemakan #savingtheummah. Surah As-saff dipilih menjadi pengisian tadabbur,” katanya.
@cikguzyd Program #WorldQuranHour melakar sejarah penganjuran pertama dalam Roblox. #cikguzyd#zydverse#worldquranhour Robloxramadan Robloxmalaysia
Untuk makluman, World Quran Hour adalah sebuah gerakan global yang bertujuan untuk menyatukan umat Islam di seluruh dunia dalam usaha membaca, memahami, dan menghayati Al-Quran selama satu jam pada waktu yang ditetapkan.
Inisiatif ini dilihat sangat bagus kerana berjaya menggabungkan platform permainan maya dengan elemen majlis ilmu agama sekaligus mampu menarik minat segenap lapisan umur dalam menghayati ayatul Quran dengan cara yang lebih menarik.
Komuniti Roblox Malaysia ini malahan mendapat pujian ramai kerana ini mungkin bakal menjadi titik permulaan kepada lebih banyak penganjuran acara agama menerusi platform permainan itu.
Bukan itu sahaja, di ruangan komentar, ramai juga yang menyatakan rasa minat untuk menyertai acara itu walaupun tidak pernah meminati dengan permainan video sebelum ini.
Sebahagian lain memuji akan kelunakan suara alunan bacaan Quran yang dilontarkan oleh peserta serta dipercayai menjadi salah satu sebab utama mereka tertarik untuk mempelajari ayat suci di dalam Al-Quran.