Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, menyatakan proses pembuangan kerja seseorang penjawat awam termasuk penguat kuasa yang terkait masalah integriti, bukan mudah dan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenang.

Beliau menjelaskan perkara itu berkata beberapa siri tangkapan telah dilakukan terhadap pegawai dan anggotanya yang disyaki menerima sogokan atau habuan ketika bertugas di lapangan, petik Berita Harian.

“Orang ramai sering mempersoalkan mengapa ada pegawai ditangkap tetapi kemudian dilihat kembali bertugas, ibarat tiada tindakan serius dikenakan terhadap mereka.

“Namun, perlu difahami bahawa proses untuk membuang kerja seseorang penjawat awam yang tidak berintegriti bukan mudah dan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya,” katanya pada sesi temu bual khas bersama media, di sini, kelmarin.

Jelasnya lagi, beliau sedang berusaha dalam hala tuju membolehkan pembuangan kerja serta-merta bawah peraturan sedia ada, termasuk yang diperuntukkan dalam Perintah Am.

Bagaimanapun ia bukan bawah kuasa mutlaknya dan memerlukan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Bukan kita tidak mahu membuang kerja pegawai yang bermasalah, namun kita terikat dengan undang-undang dan perkara ini perlu difahami oleh masyarakat,” katanya.

Shuhaily menyatakna AKPS telah menubuhkan pasukan khas bagi meneliti maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam.

Pasukan ini digerak untuk mengesahkan aduan dan sekiranya wujud salah laku, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan. Malah, aduan dan maklumat yang diperoleh turut menyumbang kepada siri tangkapan berterusan membabitkan anggota penguat kuasa yang dilaporkan sebelum ini

Sumber