Semalam tular di media sosial berhubung kawasan hutan di tapak rekreasi popular Bukit Broga, Semenyih telah dijilat api secara tiba-tiba. Di dalam satu rakaman video, pihak bomba sedang berusaha memadamkan api yang marak di sekitar kawasan bukit itu.

Bagaimanapun, berita baik buat anda kerana kejadian kebakaran malam tadi kini sudah padam sepenuhnya pada awal pagi ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sumber Gambar: FB Outdoor team Malaysia

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kebakaran itu membabitkan kawasan puncak bukit berkenaan seluas 0.8 hektar.

“Seramai 64 orang terbabit dalam operasi ini terdiri daripada 17 anggota bersama tiga jentera dari Zon 4 Selangor (Hulu Langat), Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih, Bangi serta Ampang selain agensi lain termasuk pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Kebakaran itu mudah merebak ke beberapa tompok-tompok api disebabkan tiupan angin di sekitar bukit berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Md Razali berkata, pihaknya berdepan beberapa kesukaran semasa memadamkan api termasuk tiada akses kenderaan untuk ke lokasi kebakaran.

Sumber Gambar: Harian Metro

“Seramai 28 pegawai dan anggota memanjat ke puncak bukit yang mengambil masa kira-kira 30 minit hingga 45 minit bagi menghampiri lokasi kebakaran.

“Pemadaman dijalankan dengan menggunakan ‘fire beater’ (menepuk api) berikutan ketiadaan sumber air.

“Tindakan operasi yang diambil adalah untuk menyekat api terus merebak di sekitar bukit dengan lokasi kebakaran dipecahkan kepada tiga sektor iaitu di kawasan puncak satu, dua dan tiga,” katanya.

Beliau berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 2.30 pagi sebelum operasi ditutup jam 3.30 pagi.

“Turut berada di lokasi kejadian adalah Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dan Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Mohd Jusni Hashim,” katanya lagi.

Sumber