Perkembangan terbaharu kes DSP melanggar pelajar sehingga mati, kini perlu pembuktian kenderaan dijadikan sebagai ‘senjata’ untuk membunuh.

Itu yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan untuk mensabitkan tertuduh dengan kesalahan membunuh biarpun membabitkan senario ‘kemalangan jalan raya’.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, wujud salah tanggapan dalam kes yang dilihat sebagai kemalangan jalan raya namun disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang diperuntukkan untuk kesalahan membunuh dengan niat.

“Kes kemalangan sememangnya tidak pernah disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana apabila kita menyatakan tentang kemalangan, maka ia sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba atau di luar jangkaan.

“Namun, jika siasatan awal pihak berkuasa mendapati bahawa sesebuah kenderaan itu dijadikan sebagai ‘senjata’ sehingga meragut nyawa, barulah kes terbabit akan disiasat mengikut seksyen berkenaan.

Pihak pendakwaan perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa kenderaan yang digunakan oleh seseorang tertuduh dijadikan sebagai senjata sehingga mencapai maksud niat di dalam undang-undang,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Mohamed Haniff berkata, cabaran yang dihadapi oleh pihak pendakwaan adalah sama seperti kes bunuh yang lain iaitu perlu membuktikan tertuduh sudah mencapai ‘niat undang-undang’ untuk melakukan perbuatan itu.

“Contohnya, jika seseorang itu memegang alatan seperti tukul besi, dia tahu alat itu mampu untuk mencederakan sehingga membunuh, tahu itu sudah cukup untuk mencapai niat undang-undang,” katanya lagi.

Susulan itu, kes penggunaan kenderaan yang dijadikan senjata untuk membunuh, senarionya sama dan apa yang penting adalah pendakwaan perlu mengemukakan bukti yang menunjukkan kriteria niat undang-undang itu dipenuhi.

Jika niat undang-undang itu tidak dipenuhi bagi seseorang itu dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, ia boleh bertukar kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dengan maksimum 30 tahun.