Jenama terkenal Bungkus Kaw Kaw, yang sinonim dengan hidangan nasi lemak yang lazat, baru-baru ini menjadi topik perbincangan hangat di media sosial.
Hal ini susulan isu yang dibangkitkan oleh Prof. Dato’ Chef Zam sebelum ini.
Menyedari kritikan ini, pihak pengurusan Bungkus Kaw Kaw telah mengeluarkan satu kenyataan terbuka bagi menjelaskan situasi tersebut dan tindakan yang bakal diambil.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Bungkus Kaw Kaw menjelaskan bahawa mereka menawarkan enam jenis menu Nasi Lemak, setiap satu dengan sambal atau kuah yang berbeza sesuai dengan jenis hidangan.
Antara pilihan menu yang ditawarkan termasuk Nasi Lemak Original dengan Sambal Nasi Lemak, Nasi Lemak Rendang Ayam dengan Kuah Rendang, serta Nasi Lemak Asam Pedas Tomyam Sotong dengan Sambal Asam Pedas Tomyam.
Namun begitu, isu yang diketengahkan adalah mengenai Nasi Lemak Rendang Ayam yang tidak disertakan dengan Sambal Nasi Lemak.
Pihak Bungkus Kaw Kaw mengakui perkara ini dan menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka.
Mereka juga mengumumkan bahawa langkah penambahbaikan segera akan dilakukan dengan menambah Sambal Nasi Lemak pada hidangan Nasi Lemak Rendang Ayam, di samping mengekalkan Kuah Rendang.
Pihak Bungkus Kaw Kaw menegaskan bahawa mereka sentiasa bersikap terbuka terhadap maklum balas dan komen daripada pelanggan.
Dalam kenyataan tersebut, pihak pengurusan turut memaklumkan bahawa mereka telah cuba menghubungi Prof. Dato’ Chef Zam bagi menjernihkan keadaan.
Mereka juga berterima kasih kepada para pengguna media sosial yang memberikan komen membina, kerana ini membantu mereka untuk meningkatkan lagi mutu jenama Bungkus Kaw Kaw.