Baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama Watie, pelawak Shuib nampaknya sekali lagi diserang oleh segelintir netizen yang tidak senang hati dengannya.

Bukan sahaja menerima respon yang pelbagai menerusi perkahwinan bersama Watie, Shuib nampaknya turut dituduh sebagai ahli ‘freemason’ sekaligus menjadi sebab arwah isterinya, Siti Sarah ditidurkan gara-gara tidak mengambil vaksin.

Baca Juga:

Dakwaan berat dan berunsur fitnah ini secara tidak langsung telah mendapat perhatian Shuib untuk mendapatkan khidmat peguam untuk memfailkan saman sekaligus mahu berjumpa dengan individu ini.

Hari ini menjadi saksi apabila individu yang dikenali dengan nama Zulhairi ini tampil bersama Shuib menerusi sebuah sidang media dengan mengakui kesalahan yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka.

Menurut Zulhairi, beliau memaklumkan informasi tersebut telah diterima oleh seorang netizen lain di mana beliau sekadar ‘copy paste’ sahaja.

Beliau yang menuduh Shuib ahli freemason ini turut mengakui tidak mengenali Shuib serta ahli keluarga Shuib. Malah, beliau gagal kemukakan bukti seperti yang didakwa.

Insiden yang dikongsikan menerusi Instagram @meloditv3 ini telah mendapat perhatian para netizen yang menyokong tindakan Shuib.

Tidak kurang juga yang berang dengan tindakan Zulhairi yang sebelum ini dilihat sangat berani membuat dakwaan keras terhadap Shuib.

Sidang media yang dibuat melibatkan dua individu ini berakhir apabila Zulhairi memilih untuk membuat permohonan maaf secara terbuka.

Shuib meskipun difitnah dengan keras memaklumkan sedia memaafkan Zulhairi serta berharapkan individu tersebut tidak menganggu pekerjaan dan keluarganya.

Diharapkan isu seperti ini tidak lagi berulang kerana secara tidak langsung bakal memberi kesan kepada seseorang selebriti atau individu serta ahli keluarga yang lain menerusi dakwaan fitnah yang dibuat.