Peminat bola sepak Asia Tenggara hari ini dikejutkan dengan berita Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei (FABD), Haji Feisal Bin Haji Eusoff Patail yang dipecat serta-merta.

Menurut kenyataan rasmi, tindakan undang-undang turut diambil terhadap beliau kerana mencabar kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Baca Juga:

“Dengan ini Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengurniakan titah perintah bagi Haji Feisal bin Haji Eusoff Patail untuk dipecat sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD) dengan serta merta.

“Tarikh berkuatkuasa adalah mulai hari Sabtu, 21 Jamadilawal 1446 bersamaan 23 November 2024,” kata titah perintah rasmi.

Isu tersebut dikatakan ada kaitan dengan penularan video beberapa pemain Brunei melawat kelab malam di Krasnodar, selepas kekalahan besar 0-11 kepada Rusia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, minggu lalu.

Video itu memaparkan beberapa pemain Brunei merokok, minum alkohol dan menari. Ini secara langsung telah melanggar larangan keras Brunei terhadap pengambilan alkohol.

FABD menafikan pemain mereka terlibat dalam video itu dan mendakwa video itu telah disunting dengan menggunakan teknologi AI serta melarang peminat menyebarkannya.

Walaupun FABD menyangkal, Kementerian Belia dan Sukan Brunei segara melakukan siasatan dan mengambil serius terhadap insiden itu.

“Kementerian menggariskan tanggungjawab atlet yang mewakili negara lebih daripada beraksi di gelanggang. Ia meliputi rasa hormat, disiplin, etika dan nilai-nilai yang mencerminkan identiti Brunei sebagai negara Islam,” katanya.