Pemain import Terengganu FC, Manuel Ott menyatakan kesediaanya untuk merebut semula posisi tengah pasukan setelah dia kembali bersatu bersama skuad penyu itu.
Bekas Kapten Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim lalu ini secara rasmi pulang ke Kuala Terengganu untuk menghadapi musim baharu yang akan bermula pada Mei nanti.
Baca Juga:
- Manuel Ott Jadi Rebutan Kelab Liga Super
- Senarai Pemain Baharu Pasukan Liga Super Musim 2024-2025
- Terengganu FC Kurangkan Jumlah Pemain Import Musim Hadapan
Ott antara watak penting KDA FC di mana dia membuat 28 penampilan dan berjaya menyumbat enam gol pada musim lalu.
Kelicikan pemain berusia 31 tahun ini jelas sekali menarik minat Tomislav Steinbruckner yang sememangnya mempunyai misi yang berbeza bersama Terengganu.
Namun apa yang lebih menarik, perebutan posisi tengah ini akan menyaksikan Ott perlu bersaing bersama seorang lagi pemain Import dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov dan seorang lagi pemain yang baharu ditandatangani dari KL City FC, Muhammad Akram Mahinan.
Sumbangan Nurillo yang membawa Terengganu ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 serta profil Akram yang membantu KL City menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2021 dan melayakkan diri ke pentas akhir saingan AFC pada 2022, adalah sebab mengapa Ott perlu berkerja keras untuk merebut posisi tengah ini.
Bagi Manuel Ott, dia sedar akan cabaran yang menanti dirinya pada musim ini lebih-lebih lagi untuk memikat hati Steinbruckner.
“Secara peribadi, saya boleh kata ini skuad yang berkualiti namun jurulatih akan menentukan siapa yang terbaik untuk bermain.
“Walau apa pun, saya bersedia untuk memberikan yang terbaik kepada pasukan ini.
“Sudah pasti saya mahu membawa pasukan ini bermain di pentas final seperti di tahun 2022, namun kami perlu konsisten setiap minggu dan pramusim adalah sangat penting untuk kami memulakannya,” kata Ott.
Bagi musim 2024-2025, pihak pengurusan Terengganu telah menetapkan sasaran untuk menamatkan saingan Liga Super di tiga terbaik dan layak ke final Piala Malaysia atau Piala FA.