Mahkamah Tinggi telah menganugerahkan pampasan berjumlah RM7.4 juta kepada seorang lelaki berusia 22 tahun yang menjalani beberapa pembedahan enam tahun lalu, selepas beliau memfailkan saman terhadap sebuah hospital kerajaan dan beberapa doktornya atas dakwaan kecuaian perubatan.
Hakim Su Tiang Joo menganugerahkan RM6.4 juta kepada K. Vimal Raj bagi pembelian satu lengan robotik dan dua kaki palsu, petik Free Malaysia Today.
Baca Juga:
- Wanita Dapat Pampasan RM170,000 Selepas Diejek ‘Darth Vader’ Oleh Rakan Sekerja

- Ekoran Dipecat Secara Tidak Adil, Bekas Eksekutif Maxis Terima Pampasan RM1 Juta

- Bekas Pengawal Keselamatan Terima Pampasan RM1.8 Juta Akibat Kecuaian Doktor

Selain itu, Vimal turut menerima RM213,000 bagi ganti rugi sakit dan penderitaan yang dialaminya akibat beberapa prosedur amputasi yang dijalankan, RM180,000 untuk penjagaan di rumah, serta RM20,000 sebagai ganti rugi teruk (aggravated damages).
Namun begitu, hakim menolak tuntutan bapa Vimal, J. Krishnasamy, bagi kehilangan pendapatan kerana tiada bukti bertulis dikemukakan untuk menyokong tuntutan tersebut.
Pampasan itu diberikan selepas kerajaan mengakui liabiliti dalam kes berkenaan. Dalam sesi penilaian ganti rugi, pihak plaintif – Vimal dan Krishnasamy – memanggil 11 saksi pakar, manakala pihak kerajaan mengemukakan 4 saksi.
Vimal dan Krishnasamy turut dianugerahkan kos sebanyak RM200,000.
Peguam Brijnandan Singh Bhar, Harwinder Kaur, Dhanesh Subramaniam Nair, Natasha Bhar, Jasween Kaur, Keshvinder Kaur dan R. Vinushini mewakili pasangan ayah dan anak itu, manakala Peguam Persekutuan Siti Asmath Che Man mewakili kerajaan.
Plaintif pada asalnya menuntut RM18.3 juta sebagai jumlah ganti rugi keseluruhan.
Saman hospital kerajaan pada tahun 2020
Krishnasamy memfailkan saman itu pada tahun 2020 ketika Vimal masih di bawah umur, dengan menamakan Kementerian Kesihatan, Hospital Ampang, tiga orang doktor, serta kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Vimal kemudiannya dimasukkan sebagai plaintif bersama setelah mencapai umur 18 tahun tahun lalu.
Tuntutan terhadap hospital dan para doktor ditarik balik selepas kerajaan bersetuju bahawa ia bertanggungjawab secara vikarius (vicariously liable) atas tindakan mereka.
Menurut pernyataan tuntutan, Vimal menjadi OKU kekal pada tahun 2019 selepas menjalani beberapa pembedahan yang menyebabkan amputasi tangan kiri di bawah siku, kaki kanan di bawah lutut, serta tumit dan jari kaki kiri.
Krishnasamy, 51 tahun, seorang bekas pemandu lori, berkata beliau terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anaknya, sementara isterinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menjadi penyara tunggal keluarga.
Menurut tuntutan itu, Vimal merupakan remaja yang sihat tanpa sebarang penyakit kronik atau genetik, kecuali alahan pada bahagian genital.
Pada 15 Januari 2019, Vimal dimasukkan ke Hospital Ampang dan didiagnosis dengan balanitis, satu keadaan yang boleh dirawat. Beliau dibenarkan keluar dua hari kemudian walaupun belum pulih sepenuhnya.
Beberapa hari kemudian, beliau pengsan di rumah dan dikejarkan semula ke hospital untuk rawatan kecemasan.
Pada 23 Januari 2019, Vimal koma dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Salah seorang petugas perubatan telah meminta bapanya menandatangani borang kebenaran kosong, tanpa menjelaskan risiko atau jenis rawatan/ubat yang akan diberikan.
Keesokan harinya, Krishnasamy mendapati jari kaki dan tangan anaknya menjadi hitam dan bengkak, namun pihak hospital tidak memberikan sebarang penjelasan tentang keadaan tersebut.
Antara Mac hingga November 2019, beberapa anggota badan Vimal terpaksa dipotong, menyebabkan beliau mengalami kecacatan kekal yang teruk.