Seorang ahli perniagaan, Hasan Azhari Hashim menuntut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) membayar pampasan bernilai RM1.3 juta atas dakwaan pelanggaran hak cipta.

Surat undang-undang itu telah dikongsikan kepada Malaysiakini. Di dalamnya menunjukkan tuntutan berkenaan adalah berkaitan dengan nombor pendaftaran kenderaan MADANI 1-MADANI 9999.

Baca Juga:

Hasan merupakan pengarah program kepada syarikat Ilham Madani Sdn Bhd. Beliau juga mendakwa menjadi pemegang hak cipta berdaftar yang sah ke atas nombor plat berkenaan.

Sekiranya gagal membayar jumlah tersebut, pasukan guamannya dari firma guaman Raj & Sach akan memfailkan tuntutan mahkamah.

Memetik laporan itu lagi, surat undang-undang itu disampaikan kepada JPJ dan MOT semalam.

Menurut Hasan, beliau menulis kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 27 Februari tahun lepas untuk mencadangkan agar beliau dan agensi kerajaan bekerjasama menjual nombor plat khas MADANI 1-MADANI 9999.

Namun cadangan berkenaan gagal selepas kerajaan tidak bersetuju melalui pemberitahuan dalam beberapa siri surat antara akhir tahun lalu hingga awal tahun ini.

Bagaimanapun menurutnya, terdapat percanggahan  maklumat yang diberikan kerajaan kepadanya pada 31 Oktober 2023 dan 6 Februari 2024 selepas beliau mendapat tahu mengenai pembidaan nombor plat MADANI melalui poster JPJ.

Dalam dokumen tuntutan tersebut, JPJ dan MOT menggunakan idea Hasan dan hak ciptanya secara tidak sah, sekali gus melanggar undang-undang hak cipta.

Sumber