Popular sebagai influencer serta penyanyi rap, Caprice mengumumkan akan menghadiahkan sebuah kenderaan SUV sebagai hadiah penyelesaian kes saman fitnah antaranya dengan ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal.

Difahamkan penyelesaian kes ini berjaya diselesaikan secara baik dalam kamar di Mahkamah Sesyen hari ini.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Sementara itu, Caprice yang kini berusia 36 tahun memaklumkan hadiah Kia Sportage akan diberikan secara percuma kepada pengikutnya menerusi platform Instagram.

“Sebagai hadiah penyelesaian kes saman hari ini, saya akan beri kereta percuma yang pernah Cap (Caprice) beli iaitu Kia Sportage, disebabkan Emilia pun tidak boleh hadir sebagai saksi.

“Saya minta maaf, Cap akan menjalankan kempen yang dinamakan Hentikan Keganasan Rumah Tangga, Insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas prosiding mahkamah hari ini.

Terdahulu, kes saman SM Faisal terhadap Caprice selesai secara baik selepas penyanyi rap itu membuat permohonan maaf kepada ahli perniagaan terbabit di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Saman itu berhubung Caprice memuat naik hantaran fitnah menerusi Instagram miliknya dengan mengaitkan SM Faisal dengan kes bekas isterinya, Emilia Hanafi.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili SM Faisal selaku plaintif berkata kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu.

“Terma-terma persetujuan antaranya defendan (Caprice) perlu memuat naik permohonan maaf di Instagram miliknya dalam tempoh 48 jam manakala terma-terma lain termasuk kos tidak boleh didedahkan secara terperinci.

“Defendan juga sudah membuat permohonan maaf kepada plaintif secara bersemuka,” katanya kepada media selepas prosiding persetujuan itu yang direkodkan di hadapan Hakim Azian Othman pada prosiding dalam kamar, yang turut dihadiri peguam Harjoth Singh mewakili Ariz.

Sementara itu, SM Faisal berkata, beliau gembira kes saman itu akhirnya selesai secara baik manakala Caprice memberitahu dia akan memuatnaik permohonan maaf terhadap plaintif dalam Instagram miliknya.

Menerusi Instagram milik Caprice, dia sudah memuat naik permohonan maaf seperti dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

SM Faisal yang mengemukakan saman itu pada 15 Ogos 2022, berkata pada 27 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.

SM Faisal mendakwa pada 28 Jun tahun lalu, Caprice memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, melalui Instagram defendan yang antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.

Plaintif memohon ganti rugi am, punitif, teladan, teruk dan kos selain perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu.

Sumber