Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan inisiatif pas perjalanan tanpa had terbaharu dikenali sebagai MyKomuter50 pada kadar RM50 sebulan bagi tempoh sah laku 30 hari, khusus untuk mengurangkan beban kos pengangkutan harian pengguna perkhidmatan relnya.
Menurut kenyataan KTMB, pas berkenaan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur tujuh tahun dan ke atas, serta bukan pengguna pas MyRailLife.
Pendaftaran bagi pengaktifan pas ini akan dibuka bermula 16 November 2026, manakala penggunaannya akan berkuat kuasa secara rasmi mulai 1 Disember 2026.
Menurut KTMB, pas RM50 itu ditawarkan secara berasingan mengikut tiga sektor perkhidmatan utama, iaitu MyKomuter50 Utara (KTM Komuter Utara), MyKomuter50 Lembah Klang (KTM Komuter Lembah Klang), dan MyKomuter50 Selatan (Shuttle Selatan).
Pengguna dibenarkan memiliki ketiga-tiga pas sektor tersebut secara serentak, namun hanya terhad kepada satu medium tiket aktif pada satu-satu masa.
Proses Pengaktifan dan Pembelian
Sebelum membuat pembelian, pengguna diwajibkan melengkapkan proses pengaktifan menerusi tiga kaedah berikut:
Secara dalam talian: Melalui aplikasi KTMB Mobile atau KITS Style dengan memuat naik salinan MyKad, MyKid atau sijil lahir (tempoh kelulusan dalam masa tiga hari bekerja).
Mesin Kios Tiket: Memasukkan MyKad atau MyKid ke dalam slot pengimbas di stesen komuter untuk kelulusan serta-merta.
Kaunter Stesen: Mengemukakan MyKad atau MyKid asal kepada kakitangan bertugas untuk pengesahan dan kelulusan serta-merta.
Setelah pengaktifan diluluskan, pas boleh dibeli dalam bentuk Tiket Kod QR Dinamik secara digital menerusi aplikasi mudah alih KTMB, atau dipautkan pada Kad Komuter Link di kaunter stesen-stesen terpilih.
Pembelian pas pada Kad Komuter Link akan membatalkan tiket Kod QR pada aplikasi secara automatik sekiranya pengguna memiliki kedua-duanya.
Had Penggunaan dan Penguatkuasaan
KTMB menegaskan bahawa pas MyKomuter50 hanya sah digunakan bagi rangkaian KTM Komuter di sektor yang dilanggan dan tidak boleh digunakan untuk perkhidmatan Rapid KL, Rapid Penang (rel dan bas) serta ERL. Pengguna juga diwajibkan melakukan transaksi lengkap (imbas masuk dan imbas keluar) serta mengemukakan MyKad atau MyKid apabila diminta semasa pemeriksaan.
Pas yang telah dibeli tidak boleh dibatalkan, dipindah milik atau dikembalikan wang. Sebarang penyalahgunaan pas milik individu lain akan dikenakan surcaj denda sebanyak RM30 berserta tambang perjalanan, dikeluarkan daripada tren di stesen berikutnya, dan berdepan tindakan senarai hitam.
Orang ramai boleh merujuk senarai penuh stesen kaunter pembelian serta maklumat lanjut menerusi laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau saluran media sosial rasmi pengendali rel tersebut.