Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperkenalkan pas perjalanan tanpa had MyKomuter50 pada harga RM50 sebulan bagi mengurangkan kos pengangkutan dan kos sara hidup pengguna perkhidmatan KTM Komuter.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, konsep pas bulanan ini adalah sama seperti pas My50 bawah Prasarana yang membolehkan pengguna menikmati perjalanan tanpa had bagi perkhidmatan KTM Komuter selama 30 hari, petik The Star TV.
“Ini amat berbaloi dan akan membantu mengurangkan kos sara hidup pengguna KTM Komuter, khususnya mereka yang menggunakan perkhidmatan ini untuk perjalanan jarak jauh.
“Sebagai contoh, jika seseorang tinggal di Tanjung Malim dan bekerja di Kuala Lumpur, tambang bulanan boleh mencecah sehingga RM416 untuk 20 hari bekerja ulang-alik. Dengan MyKomuter50, mereka dapat menjimatkan RM366 sebulan,” kata beliau pada satu sidang media di sini.
Tambah beliau, penjimatan ketara menerusi MyKomuter50 turut boleh dinikmati pengguna di wilayah lain, termasuk sektor utara (Alor Setar ke Butterworth) yang berupaya menjimatkan sehingga RM250 sebulan, perkhidmatan Shuttle Selatan (Kluang ke Johor Bahru) melebihi RM200, serta laluan Seremban ke Kuala Lumpur dengan penjimatan sekurang-kurangnya RM300 sebulan.
Selain penjimatan tambang, kerajaan turut mengambil langkah proaktif menambah baik kualiti dan kekerapan perkhidmatan kereta api secara berperingkat.
Loke menjelaskan, sebanyak 12 set tren baharu akan mula beroperasi bagi KTM Komuter Sektor Utara seawal bulan Februari akan datang.
“Untuk Sektor Utara dari Ipoh ke Butterworth dan Butterworth ke Padang Besar, kita akan menambah 12 set tren baharu yang dijangka beroperasi seawal Februari tahun depan. Jadi pengguna di utara bukan sahaja menikmati tambang lebih murah, malah bakal mendapat tren baharu,” jelas beliau.
Bagi Sektor Lembah Klang pula, kekerapan tren akan ditingkatkan susulan pembukaan semula beberapa jajaran landasan yang sedang dinaik taraf di bawah projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).
Di samping itu, kerajaan juga dalam proses perolehan 42 set tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter menerusi kaedah pajakan (leasing) bagi memastikan perkhidmatan rel negara terus ditambah baik.