Jamie Carragher percaya Manchester City akan terus mengekalkan status mereka sebagai antara kuasa dominan bola sepak England dengan meramalkan Enzo Maresca mampu menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertamanya di Stadium Etihad.

Bekas pertahanan England itu percaya perebutan gelaran EPL musim ini hanya akan melibatkan Manchester City dan juara bertahan, Arsenal sekali gus menolak peluang bekas kelabnya, Liverpool serta Manchester United untuk turut sama mencabar kejuaraan.

Carragher turut menjelaskan sebab beliau memilih Manchester City sebagai calon juara meskipun kelab itu mengalami perubahan pengurus selepas pemergian Pep Guardiola.

Carragher Dedah 2 Calon Juara EPL 2026/27, Liverpool Dianggap Masih Belum Setanding
Kredit Foto: Adrian Dennis / AFP

“Ketika ini dan kita tahu masih ada sebulan lagi sebelum jendela perpindahan ditutup, saya hanya melihat Arsenal atau Manchester City sebagai pencabar kejuaraan,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.

“Memang ada persoalan kerana dia (Enzo Maresca) masih baharu dalam peranan itu, tetapi saya peminat Maresca berdasarkan apa yang dilakukannya di atas padang, apa yang ditunjukkannya ketika bersama Chelsea, serta pendekatan taktikal dan cara dia membentuk pasukan.”

“Saya memilih Manchester City [sebagai juara]. Sebabnya, saya rasa mereka masih begitu hampir untuk memenangi kejuaraan musim lalu. Saya tahu Pep Guardiola sudah tiada, saya faham perkara itu.”

“Apabila anda mempunyai pengurus yang sama selama 10 tahun, memang ada yang akan berkata sukar untuk menggantikannya. Tetapi pada masa sama, kehadiran seseorang yang baharu boleh membawa sesuatu yang sedikit berbeza dan lebih segar.”

“Saya fikir jika Rodri berpindah ke Real Madrid, mungkin saya tidak akan berkata demikian. Namun berdasarkan keadaan semasa, jika anda Manchester City, apa gunanya menjual Rodri? Apa faedahnya?”

Kenapa Carragher Tak Pilih Liverpool?

Dalam masa sama, Carragher menegaskan Liverpool masih belum mempunyai skuad yang cukup lengkap untuk mencabar kejuaraan EPL di bawah pengurus baharu, Andoni Iraola.

Menurutnya, The Reds masih memerlukan beberapa pemain berkualiti di posisi penting sebelum mampu bersaing dengan Manchester City dan Arsenal.

“Ketika ini saya tidak fikir Liverpool berada pada tahap untuk memikirkan soal kejuaraan. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku dalam tempoh sebulan lagi, tetapi saya rasa mereka masih belum cukup hampir.”

“Saya fikir Liverpool memerlukan dua pemain pertahanan dan seorang pemain sayap kanan bertaraf dunia untuk benar-benar berada dalam perebutan kejuaraan. Mereka juga masih belum menggantikan Mohamed Salah. Kita sedang mengejar Bradley Barcola dan saya hanya mampu menggelengkan kepala.”

Carragher Dedah 2 Calon Juara EPL 2026/27, Liverpool Dianggap Masih Belum Setanding
Kredit Foto: Paul ELLIS / AFP

Carragher bagaimanapun mengakui pihak pengurusan kelab lebih mengetahui keperluan sebenar skuad.

“Pengurus dan mereka yang menguruskan perpindahan pemain sudah tentu lebih tahu apa yang berlaku di sebalik tabir serta apa yang diperlukan oleh skuad berbanding saya.”

“Tetapi apabila saya melihat skuad sekarang, kami mempunyai kira-kira empat pemain yang boleh beraksi di sayap kiri dan masih mahu mendapatkan Barcola. Sedangkan kami langsung tidak mempunyai pemain sayap kanan tulen dalam skuad.”

Sumber