Legenda Manchester United, Roy Keane, menegaskan pelantikan Michael Carrick sebagai pengurus tetap kelab itu bukan keputusan yang tepat sejak awal lagi.

Menurut Keane, kejayaan Carrick mengendalikan beberapa perlawanan pada musim lalu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk memberikannya tanggungjawab lebih besar sebagai pengurus tetap Manchester United.

Keane berpandangan tugas seorang pengurus bukan sekadar mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan, sebaliknya turut melibatkan persiapan pramusim, menguruskan jangkaan penyokong serta membuat keputusan berkaitan pengambilan pemain.

“Kita sudah cakap sejak hari pertama lagi bahawa dia tidak cukup bagus untuk jangka panjang.

“Dia menguruskan beberapa perlawanan pada musim lalu dan tiba-tiba dia menjadi pengurus sebuah kelab bola sepak. Kamu perlu menguruskan pramusim, jangkaan, pengambilan pemain dan tiba-tiba kamu terlibat dalam semua perkara itu,” katanya.

Keane turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang sebelum ini mendesak Manchester United memberikan jawatan itu kepada Carrick kerana keputusan positif yang diraih.

Namun, apabila keputusan tidak lagi memihak kepada pasukan, alasan mula beralih kepada masalah di peringkat pengurusan kelab.

“Tahun lalu, orang berkata: ‘Kamu perlu berikan dia jawatan itu kerana keputusannya!’

“Sekarang dia tidak mendapat keputusan yang baik dan orang pula berkata: ‘Oh, tetapi masalahnya pada lembaga pengarah!'” katanya.

Bagi Keane, situasi ini membuktikan keputusan melantik seorang pengurus tidak boleh dibuat berdasarkan prestasi jangka pendek semata-mata.

Carrick kini berdepan tekanan untuk membuktikan dirinya mampu mengendalikan Manchester United, sebuah kelab yang menuntut keputusan konsisten serta kemampuan membina pasukan untuk jangka panjang.