Starbucks, jenama kedai kopi terbesar dunia, baru-baru ini mengumumkan bahawa Brian Niccol, mantan CEO Chipotle, akan mengambil alih jawatan sebagai CEO menggantikan Laxman Narasimhan, yang meletak jawatan pada Ogos 2024, lapor Yahoo! Finance.

Keputusan ini dibuat di tengah-tengah tekanan ekonomi global, termasuk inflasi yang melambung dan boikot yang semakin meluas terhadap syarikat tersebut berikutan konflik di Gaza.

Niccol akan memulakan tugasnya pada 9 September 2024 dengan tawaran paket manfaat bernilai USD 113 juta (sekitar lebih RM500 juta), yang merangkumi bonus perpindahan, gaji tahunan, dan insentif lain.

Walaupun harga saham Starbucks naik sebanyak 24.5% sebaik sahaja berita ini diumumkan, cabaran besar menanti Niccol dalam usaha untuk memulihkan syarikat ini.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Starbucks menghadapi kemerosotan jualan di pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan China.

Di AS, penurunan pembeli dan inflasi yang tinggi membuat ramai pelanggan beralih kepada kopi yang lebih murah.

Manakala, di China, walaupun Starbucks telah menambah bilangan kedai menjadi 6,500, jualan tetap merosot sebanyak 14% sejak akhir 2023.

Namun, cabaran yang lebih besar datang dari boikot yang dianjurkan oleh para penyokong Palestin di seluruh dunia.

Boikot ini dimulakan pada Oktober 2023 setelah Israel menyerbu Gaza, menyebabkan kemarahan global.

Starbucks dilihat sebagai menyokong Israel apabila ia mengugut pekerjanya yang menyokong warga Gaza.