Pembabitan PROTON dalam filem terbaharu terbitan Astro Shaw, TERBANG, menjadi bukti pengiktirafan terhadap zaman kegemilangan sukan permotoran negara yang pernah meletakkan jenama automotif tempatan itu di persada dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong, menyifatkan tayangan filem berkenaan sebagai detik membanggakan dalam melestarikan warisan sukan permotoran syarikat itu, sekali gus menyampaikan detik bersejarah berkenaan kepada generasi muda.

“Bagi PROTON, filem ini merupakan penghormatan kepada era keemasan sukan permotoran Malaysia yang dibina oleh jurutera, mekanik dan pemandu kami. Model seperti Proton Wira 4WD dan pasukan PERT telah membawa nama syarikat ke pentas dunia sewaktu kejuaraan Karamjit Singh,” katanya.

Beliau menambah, filem tersebut berkongsi semangat kecekalan, kerjasama pasukan dan kebanggaan nasional dengan generasi baharu. Pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dalam projek berkenaan dan gembira melihat sejarah jenama itu dipaparkan seiring pencapaian wira permotoran negara.

Sempena perayaan Hari Malaysia baru-baru ini, PROTON telah menghimpunkan para pelanggan, pemegang taruh kerajaan dan pihak pengurusan syarikat bagi menghadiri tayangan khas filem tersebut.

TERBANG mengisahkan perjalanan Ajeet, seorang pelumba rali berbakat yang terbelenggu dengan trauma akibat kemalangan ngeri sehingga bertindak mengasingkan diri daripada dunia permotoran. Hasil sokongan rakan-rakan, beliau bangkit mengatasi ketakutan dan rintangan untuk kembali ke litar demi mengharumkan nama negara.

Jalan cerita filem ini diinspirasikan daripada kerjaya legenda rali negara, Karamjit Singh — Juara Rali Dunia Pengeluaran FIA 2002, juara empat kali Rali Asia-Pasifik FIA, dan juara 11 kali Rali Kebangsaan Malaysia — serta kejayaan yang dilakar beliau sewaktu mewakili pasukan rali tajaan rasmi PROTON.

Sokongan PROTON terhadap pembikinan filem ini merangkumi penyediaan jentera rali bersejarah PROTON PERT, selain membuka fasiliti litar ujian serta garaj syarikat bagi penggambaran babak-babak utama.

Di samping itu, Proton e.MAS turut bertindak sebagai rakan mobiliti rasmi bagi kempen promosi TERBANG X STING EV Road trip, yang merangkumi penganjuran siri kembara jalanan dan sesi ramah mesra eksklusif bersama pelakon filem berkenaan di Melaka dan Johor Bahru bersama komuniti pemilik kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS.